S.L.I.D.E 2025 tampilkan enam rumusan masalah sosial, alam sekitar bantu masyarakat | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

S.L.I.D.E 2025 tampilkan enam rumusan masalah sosial, alam sekitar bantu masyarakat

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 April - Program pembangunan sosial, SEEd.Lab Impact Driven Experience (S.L.I.D.E 2025), hasil kerjasama Petronas dan Tata Consultancy Services (TCS), berjaya menampilkan enam idea luar biasa daripada para usahawan yang menghasilkan rumusan unik untuk masalah sosial dan alam sekitar.

 

Rumusan daripada enam usahawan dari edisi ketiga program berkenaan dibentangkan kepada bakal pelabur, pemimpin industri dan rakan kerjasama.

 

Daripada membantu petani ikan sehingga memperkasa tukang jahit wanita, semua inisiatif itu diwujudkan sepanjang tempoh program selama 12 hingga 18 bulan latihan menyeluruh di bawah SEEd.Lab.

 

Antara rumusan yang diperkenalkan adalah AquFish, teknologi pintar yang membantu penternak ikan memberi makanan dengan lebih tepat dan jimat kos; ArtsProud, aktiviti seni untuk warga emas; dan LearnaDo iaitu pembelajaran interaktif subjek sains bagi kanak-kanak.

 

Tiga lagi idea menarik adalah ProLadang iaitu sistem amaran awal serangan penyakit tanaman menggunakan data satelit; Quinterra iaitu penggunaan lalat askar hitam bagi mengurus sisa makanan dan menjana semula sistem pertanian; serta Sagemaker Asia bagi membantu wanita berpendapatan rendah menghasilkan buku cerita interaktif untuk kanak-kanak dan hadiah korporat.

 

Ketua SEEd.Lab, Aidonna Jun Ayub berkata, sejak penubuhan SEEd.Lab pada 2010, program berkenaan telah membantu 14 usaha sosial, termasuk enam dari edisi S.L.I.D.E 2025, yang membantu 28,000 individu.

 

"S.L.I.D.E 2025 adalah platform penting bagi usahawan untuk mempamerkan perniagaan sosial mereka dan mendapatkan perkongsian strategik yang akan mempercepat pertumbuhan serta menyediakan rumusan untuk masyarakat," katanya dalam satu kenyataan.

 

Naib Presiden Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Hiliran Petronas, Datuk Sazali Hamzah berkata, program itu membuktikan perubahan besar bermula daripada satu impian kecil dan pihak yang berusaha melaksanakannya.

 

"Kita sudah nampak hasilnya dalam lima tahun ini. Kami yakin usahawan sosial sebegini mampu menyelesaikan cabaran masyarakat," ujarnya.

 

Sementara itu, Ketua TCS Malaysia, Jeevan Rajoo pula menyeru lebih banyak pihak tampil untuk menyokong usaha berkenaan.

 

"Usahawan yang terlibat mempunyai asas kukuh. Mereka perlukan rakan kongsi yang berkongsi visi yang sama untuk mencipta perubahan yang benar-benar memberi makna," katanya.

 

Dengan kejayaan berterusan, SEEd.Lab komited menghasilkan kumpulan baharu usahawan yang berdedikasi untuk menyelesaikan cabaran masyarakat. - DagangNews.com