KUALA LUMPUR 16 April - SkyWorld Development Bhd menerusi Rimba Maju Realiti Sdn Bhd memeterai perjanjian jual beli (SPA) dengan M S Tan Corporation Sdn Bhd bagi mengambil alih pegangan bebas seluas 1.22 hektar di Mont Kiara, Kuala Lumpur pada harga RM110 juta.
Rimba Maju Realiti merancang untuk melaksanakan pembangunan kediaman mewah di atas tanah itu, menawarkan persekitaran tempat tinggal yang eksklusif dengan kemudahan moden.
Terletak secara strategik di sepanjang Jalan Kiara, kira-kira 200 meter dari Sekolah Antarabangsa Mont Kiara selain berdekatan 1 Mont Kiara Mall, Solaris Mont Kiara dan pusat beli-belah Publika.
"Pemerolehan itu, dijangka selesai dalam tempoh sembilan bulan dari tarikh perjanjian jual beli, akan dibiayai melalui gabungan dana yang dijana secara dalaman, hasil daripada tawaran awam permulaan pada 2023 dan/atau pinjaman bank," katanya dalam satu kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif SkyWorld Development, Lee Chee Seng berkata, pemerolehan itu sejajar dengan fokus strategik untuk mengembangkan jejak pembangunan dan tawaran produk.
Beliau berkata, lokasi utama tanah di Mont Kiara menjadikannya sesuai untuk pembangunan kediaman mewah dengan potensi kukuh untuk peningkatan modal dan permintaan pasaran yang mampan.
"Kami komited mengekalkan pembangunan teguh dan mengukuhkan bank tanah kami melalui pengambilalihan strategik.
"Langkah terbaru ini bukan sahaja menyokong pertumbuhan jangka panjang kami tetapi juga meletakkan kami untuk memanfaatkan permintaan Lembah Klang yang semakin berkembang untuk kehidupan bandar yang berkualiti," katanya. - DagangNews.com








