SkyGate tingkatkan pegangan dalam SkyGate Integration kepada 95% melalui perjanjian saham berharga RM9.8 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SkyGate tingkatkan pegangan dalam SkyGate Integration kepada 95% melalui perjanjian saham berharga RM9.8 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Julai - SkyGate Solutions Bhd memeterai perjanjian penjualan saham dengan Ong Chee Fui untuk memperoleh 44% kepentingan ekuiti dalam SkyGate Integration Sdn Bhd berharga RM9.8 juta.

 

Syarikat telekomunikasi dan teknologi dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pembelian tersebut akan diselesaikan sepenuhnya melalui penerbitan kira-kira 14.63 juta saham baharu SkyGate pada harga 67 sen sesaham.

 

Ia susulan pengumuman terdahulu oleh SkyGate pada 15 April 2025 mengenai pengambilalihan 51% pegangan dalam SkyGate Integration dengan bayaran tunai sebanyak RM10.71 juta.

 

Sebagai sebahagian daripada perjanjian tersebut, SkyGate Integration berhutang RM1.08 juta kepada Chee Fui yang merupakan sebahagian daripada pinjaman daripada Kumpulan Modal Perdana Sdn Bhd (KMP).

 

Di bawah cadangan semasa, SkyGate akan menyelesaikan hutang RM1.08 juta kepada Chee Fui dengan menerbitkan 1.61 juta saham baharu SkyGate pada harga 67 sen sesaham.

 

Setelah cadangan pengambilalihan ini selesai, SkyGate Integration akan menjadi anak syarikat milik 95% oleh syarikat tersebut.

 

SkyGate berkata, pengambilalihan yang dicadangkan itu merupakan sebahagian daripada strategi jangka panjang untuk mengembangkan perniagaan kumpulan, mengukuhkan operasi, dan memberikan nilai yang lebih tinggi kepada para pemegang saham.

 

Ia berkata, langkah itu akan meningkatkan kedudukan pasaran syarikat dan menyokong pertumbuhan dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

 

Kepakaran SkyGate Integration dalam pembangunan perisian, integrasi sistem, dan penyelesaian teknologi melengkapi portfolio sedia ada kumpulan, membolehkan ia menawarkan rangkaian perkhidmatan yang lebih luas kepada lebih ramai pelanggan. - DagangNews.com