SKP Resources dijangka tingkatkan penggunaan automasi bagi kekal daya saing jangka panjang - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

SKP Resources dijangka tingkatkan penggunaan automasi bagi kekal daya saing jangka panjang - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Ogos - SKP Resources Berhad dijangka meningkatkan penggunaan automasi dalam barisan pengeluarannya sebagai usaha menaikkan kecekapan operasi dan mengekalkan daya saing jangka panjang, kata penganalisis. 

 

Public Investment Bank (PublicInvest) berkata, langkah itu hadir ketika kumpulan sedang menghadapi tekanan kos operasi termasuk kenaikan kadar gaji minimum dan susut nilai daripada kemudahan baharu yang masih dalam fasa awal penggunaan.

 

“Automasi adalah kunci kepada keberkesanan kos dan produktiviti dalam jangka masa panjang, terutamanya dalam persekitaran tenaga kerja yang semakin mahal.

 

“SKP dilihat mengambil pendekatan yang proaktif dengan menyesuaikan model pengeluarannya terhadap keperluan masa depan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Kemudahan pengeluaran baharu SKP ketika ini hanya beroperasi pada kadar penggunaan sekitar 25%, berbanding 60–65% di fasiliti sedia ada. 

 

Ini menunjukkan terdapat ruang yang besar untuk penambahbaikan apabila tahap penggunaan optimum dicapai. Kos awal berkaitan kemudahan tersebut termasuklah penyusutan dan perbelanjaan tetap, yang turut menekan margin keuntungan.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM1.35 sesaham.

 

RHB Research berkata, SKP telah memperoleh satu lagi pelanggan baharu selepas dua pelanggan yang telah berjaya diserap tahun lalu (pengeluaran secara komersial bermula pada akhir 2024). 

 

Katanya, perkembangan ini adalah positif untuk kumpulan dalam usaha mengurangkan kebergantungan kepada satu pelanggan tunggal serta mengisi kapasiti di kilang baharu.

 

Selain itu, SKP kini sedang berbincang dengan lebih ramai pelanggan berpotensi selepas menerima lebih banyak pertanyaan yang mungkin mendorong lebih banyak pemilik jenama untuk mempelbagaikan sumber pengeluaran.

 

"Kami mengekalkan saranan "beli" dengan TP RM1.13 sesaham," katanya.

 

Sementara itu, Kenanga Research berkata, trajektori pertumbuhan kumpulan akan disokong oleh tempahan berterusan daripada pelanggan sedia ada serta sumbangan tambahan daripada penglibatan pelanggan baharu. 

 

Katanya, SKP sedang giat mempelbagaikan asas pelanggannya bagi mengurangkan risiko kebergantungan, yang

 

seterusnya akan meningkatkan keterlihatan pendapatan dan mengurangkan kebergantungan kepada satu pelanggan utama.

 

"Kumpulan kini memberi tumpuan kepada pengembangan keupayaan dalam papan litar bercetak (PCBA), pengacuan suntikan dan kejuruteraan untuk meneroka portfolio produk yang lebih luas. 

 

"Segmen PCBA kini beroperasi pada kadar penggunaan sebanyak 75% dan dijangka meningkat apabila pelanggan baharu memulakan pengeluaran secara besar-besaran," katanya.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "outperform" dengan TP RM1.24 sesaham. - DagangNews.com