Siri jelajah promosi Sabah & Labuan ke Pantai Timur semarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Siri jelajah promosi Sabah & Labuan ke Pantai Timur semarakkan Tahun Melawat Malaysia 2026

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 22 Sept – Tourism Malaysia dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Sabah dan Perbadanan Labuan melancarkan siri jelajah ke Pantai Timur untuk merancakkan pelancongan domestik dalam negeri.

 

Program ‘Sabah & Labuan Meet East Coast Roadshow 2025’  itu berlangsung selama dua hari di Kota Bharu (21 Sept) dan Kuantan (23 Sept).

 

Ia menghimpunkan 15 pemain industri pelancongan dari Sabah dan Labuan termasuk agensi pelancongan, pengendali pelancongan, persatuan serta operator hotel untuk sesi perniagaan-ke-perniagaan (B2B) bersama rakan niaga dari Kelantan dan Pahang.

 

Menurut Pengarah Tourism Malaysia Sabah, Haryanty Abu Bakar, usaha ini selaras dengan persiapan Tahun Melawat Malaysia 2026 yang menawarkan pelbagai pakej pelancongan serta peningkatan promosi antara negeri.

 

“Buat masa ini, akses Sabah-Pantai Timur disokong oleh penerbangan AirAsia tiga kali seminggu. 

 

“Dengan permintaan domestik yang semakin meningkat, kami berharap lebih banyak syarikat penerbangan akan membuka laluan ke destinasi ini,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sepanjang Januari hingga Julai 2025, Sabah menerima 2.12 juta pelawat, meningkat 20.3% berbanding tahun lalu dengan 854,648 pelancong antarabangsa dan 1.27 juta pelancong domestik.

 

Program itu turut mendapat sokongan kerajaan negeri Kelantan dan Pahang, dengan lebih 100 pembeli dari Pantai Timur dijangka hadir selain lawatan produk pelancongan di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

 

Sebelum ini, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) meletakkan sasaran ketibaan seramai 35.6 juta pelawat antarabangsa dengan menjana nilai sebanyak RM147.1 billion. - DagangNews.com