KUALA LUMPUR 15 Dis – Program Kayuhan Antarabangsa 2025 (SIR 2025) anjuran Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Cyber Valley baru-baru ini berjaya menarik penyertaan 1,000 peserta dari dalam dan luar negara termasuk Singapura, Jerman dan Brazil.
PKNS berkata, penganjuran edisi ketiga SIR 2025 menampilkan pendekatan baharu menerusi pengenalan konsep fellowship ride, berbeza daripada format perlumbaan yang digunakan pada edisi 2023 dan 2024, dengan matlamat merapatkan hubungan antara rakan strategik, komuniti setempat serta masyarakat awam.
Menurut Pengurus Besar Pembangunan Cyber Valley PKNS Mohd Shahrol Md Sharif, walaupun SIR 2025 tidak berkonsepkan perlumbaan, program itu tetap menjadi platform kepada peserta tempatan dan antarabangsa untuk menguji kemampuan, menonjolkan bakat serta berkongsi pengalaman berbasikal bersama pelbagai lapisan masyarakat.
“Bermula dari Galeri Jualan PKNS Cyber Valley, acara pelepasan telah disempurnakan oleh Tengku Orang Kaya Maha Bijaya Sepang, Tengku Datuk Dr Jamaluddin Tengku Mahmud Shah Al Haj seawal 7.30 pagi, melibatkan kategori kayuhan jarak jauh (fellowship ride) sejauh 88 kilometer (km) dan kayuhan santai (fun ride) sejauh 25 km,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, laluan kayuhan 88 km merentasi kawasan Cyberjaya, Sepang, Kuala Langat dan Dengkil, yang turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif PKNS, Datuk Mahmud Abbas.
Sementara itu, Pengerusi SIR 2025 merangkap Pengurus Kanan Projek Unit Pembangunan Bernam Jaya PKNS, Mohd Iswardy Mohamad Yunos berkata, peserta SIR 2025 berusia antara 12 hingga 77 tahun, dengan kira-kira 40 peratus terdiri daripada golongan berumur 35 hingga 45 tahun.
“Insya-Allah, program ini akan dilaksanakan secara tahunan kerana ia secara tidak langsung memperkenalkan masyarakat kepada pembangunan bandar PKNS yang sedang dan bakal dibangunkan.
“Dengan sokongan berterusan kerajaan negeri, rakan strategik dan penaja, syarikat bercadang menjadikan acara ini sebagai acara tahunan serta dimasukkan dalam kalendar pelancongan Selangor,” katanya.
Antara penaja SIR 2025 ialah Worldwide Holdings Bhd, Bank Islam Malaysia Bhd, Koperasi PKNS dan Kumpulan Hartanah Selangor Bhd, selain sokongan agensi kerajaan termasuk Majlis Perbandaran Sepang, Majlis Perbandaran Kuala Langat, Polis Diraja Malaysia dan Hospital Cyberjaya.
Selain aktiviti berbasikal, PKNS berkata peserta turut berpeluang memenangi hadiah eksklusif menerusi cabutan bertuah termasuk hadiah utama sebuah motosikal, di samping menikmati pelbagai reruai jualan makanan di sekitar galeri jualan.
Menurut PKNS, penganjuran SIR 2025 mencerminkan komitmen berterusan perbadanan itu sebagai rakan pembangunan yang proaktif dalam memperkasakan masyarakat, selain mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pilihan untuk kehidupan, pelaburan, peluang ekonomi dan pelancongan sukan. - DagangNews.com







