KUALA LUMPUR 20 Mei – Sin-Kung Logistics Bhd menukar nama anak syarikat penerbangannya, Prima Air Sdn Bhd kepada Sin-Kung Airways Sdn Bhd.
Pengarah Urusan Sin-Kung Logistics, Alan Ong berkata, langkah itu merupakan sebahagian daripada strategi korporat untuk menyelaraskan operasi di bawah satu identiti sebagai penyedia perkhidmatan pengangkutan kargo udara.
"Jenama Sin-Kung cukup dikenali dalam sektor kargo udara. Menerusi penyatuan nama ini, kami memperkukuh kedudukan sebagai penyedia rumusan logistik menyeluruh dan meluaskan capaian jenama kami di peringkat serantau," katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sempena Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2025, syarikat memaklumkan perubahan nama itu dibuat selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Sin-Kung Airways turut memulakan perkhidmatan sewa khas penumpang (private charter) dalam menggunakan pesawat Piaggio P180 Avanti II, yang terkenal dengan kelajuan, keselesaan, dan kecekapan.
Langkah itu menandakan kemasukan rasmi kumpulan ke dalam segmen penerbangan eksekutif premium selain pengangkutan kargo udara.
Sin-Kung Airways dijangka memulakan operasi pada suku ketiga 2025, dengan perancangan menyewa tiga pesawat menjelang akhir tahun dan penghantaran pertama dijadualkan pada Julai 2025.
Operasi awal meliputi laluan antara KLIA, Kota Kinabalu, Kuching, Labuan, dan Hong Kong dalam menyasarkan sektor e-dagang, farmaseutikal, semikonduktor, minyak dan gas serta barangan mudah rosak.
Sin-Kung Airways kini beroperasi dalam tiga segmen utama iaitu kargo udara, perkhidmatan jet sewa khas dan penyelenggaraan, pembaikan serta baik pulih (MRO) pesawat.
Syarikat itu juga memiliki Permit Perkhidmatan Udara (ASP) dan Sijil Pengendali Udara (AOC) yang membolehkannya menjalankan operasi pengangkutan udara komersial tidak berjadual.- DagangNews.com







