Sime Darby Property pacu pertumbuhan jangka panjang dengan REIT dan pusat data jadi pemangkin, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sime Darby Property pacu pertumbuhan jangka panjang dengan REIT dan pusat data jadi pemangkin, kata penganalisis

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Ogos Sime Darby Property Bhd terus menarik perhatian pelabur dengan strategi jangka panjangnya memperkukuh portfolio aset pelaburan, disokong pencapaian positif jualan pada separuh pertama tahun kewangan 2025 (1H25), kata penganalisis.

 

RHB Research berkata, ia kekal positif terhadap visi pengurusan Sime Darby Property membangunkan syarikat sebagai peneraju hartanah bersepadu.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pengembangan portfolio pelaburan, termasuk potensi penyenaraian amanah pelaburan hartanah (REIT), bakal menjadi pemangkin utama kepada kenaikan harga saham Sime Darby Property.

 

“Kami percaya penyenaraian REIT Sime Darby Property akan mendapat sambutan baik memandangkan kualiti tinggi aset perindustrian yang dimiliki.

 

“Selain itu, syarikat mengekalkan daya saing melalui strategi monetisasi aset,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Firma itu turut mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran RM2.33.

 

RHB Research turut menilai positif perancangan Sime Darby Property membangunkan pusat data kedua yang bernilai lingkungan RM4 bilion hingga RM5 bilion. 

 

Kontrak pembinaan dijangka dianugerahkan tidak lama lagi dan projek itu dijangka pada akhir 2027. Konsep pembiayaan projek ini berkemungkinan menggunakan model “development fund”, sepertimana dana logistik yang ditubuhkan pada 2021 bagi membiayai gudang industri di Bandar Bukit Raja.

 

Dari segi jualan, Sime Darby Property mencatat RM2 bilion pada 1H25 dengan tambahan tempahan bernilai RM1.6 bilion setakat 10 Ogos, sekali gus menunjukkan syarikat berada di landasan untuk mencapai sasaran jualan tahun penuh.

 

Bagi separuh kedua FY25, Sime Darby Property bercadang melancarkan projek baharu bernilai RM1.9 bilion, dengan 59% terdiri daripada pembangunan perbandaran dan 41% pembangunan bersepadu.

 

Dalam pada itu, Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) berkata, di bawah strategi SHIFT25, pengurusan SimeProp dilihat mengorbankan jualan jangka pendek dengan mengekalkan beberapa aset industri dan logistik terpilih bagi membina asas pendapatan berulang yang lebih kukuh untuk pertumbuhan jangka panjang.

 

“Pada pandangan kami, langkah ini akan membuka jalan ke arah penyenaraian aset pelaburan Sime Darby Property dalam tempoh dua hingga tiga tahun.

 

“Oleh itu, kami mengekalkan unjuran pendapatan serta mengulangi saranan ‘pegang’ dengan harga sasaran RM1.50,” kata firma itu dalam nota kajiannya.

 

Bagi projek luar negara, Fasa 3B Battersea Power Station di United Kingdom, melibatkan kediaman KOA, mencatatkan kadar ambilan meningkat 4% suku ke suku kepada 78%, manakala kadar penghunian bangunan pejabat Electric Boulevard (EB) berada pada 45%.

 

Sime Darby Property menjangkakan kadar penghunian EB mencecah 80% menjelang akhir tahun kewangan 2025 (FY25), namun tetap mengutamakan kualiti penyewa jangka panjang berbanding mengejar sasaran segera.

 

Sementara itu, Fasa 3C kini menuju ke peringkat tender dengan kontraktor disenarai pendek, dan pembinaan dijangka bermula pada FY26.

 

Maybank IB turut mengekalkan sasaran jualan Sime Darby Property bagi FY25.- DagangNews.com