KUALA LUMPUR 8 Dis – Sime Darby Property Berhad mencatat satu lagi pelaburan industri utama menerusi pembangunan pusat pengedaran automasi bernilai RM450 juta untuk Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) di bandar Elmina, Selangor, yang dijangka siap pada suku ketiga 2027.
Majlis pecah tanah projek itu disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, menandakan keyakinan kerajaan negeri terhadap projek berimpak tinggi itu sebagai pemacu baharu pertumbuhan ekonomi Selangor.
Menurut Sime Darby Property, pembangunan tersebut melibatkan tanah pegangan bebas seluas 19 ekar dengan keluasan binaan 786,000 kaki persegi dan dibangunkan di bawah model Built-to-Suit to Lease, dengan tempoh pajakan jangka panjang selama 15 tahun.
Dalam kenyataan hari ini, Sime Darby Property berkata pusat edaran itu akan menjadi komponen penting kepada keselamatan rantaian bekalan negara serta menyokong transformasi logistik Mydin di peringkat nasional.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Property, Datuk Seri Azmir Merican berkata, projek ini mencerminkan keyakinan berterusan terhadap tawaran perindustrian kumpulan.
“Kerjasama ini mencerminkan keyakinan pasaran terhadap keupayaan Sime Darby Property bukan sekadar sebagai pemaju, tetapi sebagai pembina ekosistem jangka panjang. Syarikat berbesar hati bekerjasama dengan Mydin untuk membangunkan kemudahan yang melambangkan masa depan perdagangan Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Sime Darby Property, pusat pengedaran itu akan dilengkapi Sistem Penyimpanan dan Pengambilan Automatik (ASRS) yang berupaya meningkatkan:
• Kapasiti pemprosesan sehingga 240%
• Kapasiti simpanan palet sebanyak 36%
• Pengurangan keperluan tenaga kerja rendah kemahiran melebihi 50%
• Serta penjimatan ketara dari segi penggunaan tenaga dan kos peralatan
Kemudahan itu direka khusus untuk meningkatkan kelajuan pemenuhan pesanan, ketepatan inventori dan daya tahan operasi Mydin dalam rangkaian runcitnya di seluruh negara.
Pengarah Urusan Mydin Mohamed Holdings Berhad, Datuk Ameer Ali Mydin Mohamed berkata, pelaburan ini adalah langkah strategik bagi meningkatkan keupayaan logistik kumpulan.
“Syarikat melihat pelaburan strategik dan tepat pada masanya di City of Elmina ini sebagai pemangkin untuk Mydin berkembang dengan lebih berani menggunakan teknologi terkini. Ia juga membuka lebih banyak peluang pembangunan bakat dan peningkatan kemahiran,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan kecekapan operasi ini akan membolehkan Mydin memberi perkhidmatan yang lebih pantas kepada pelanggan serta meningkatkan peranannya dalam ekosistem runcit dan rantaian bekalan negara.
Menurut Sime Darby Property, City of Elmina mempunyai akses terus kepada lima lebuh raya utama iaitu Lebuhraya Utara-Selatan (NSE), Guthrie Corridor Expressway (GCE), Kuala Lumpur–Kuala Selangor Expressway (LATAR), Damansara-Shah Alam Elevated Expressway (DASH) serta New Klang Valley Expressway (NKVE).
Lokasi strategik ini membolehkan pergerakan barangan yang cekap bagi pengedaran nasional.
Selain manfaat kepada Mydin, projek tersebut dijangka merangsang permintaan pekerjaan berkemahiran tinggi dalam bidang automasi, teknologi logistik dan operasi gudang berasaskan data, sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada Elmina dan Lembah Klang.
Sime Darby Property berkata, pembangunan ini selari dengan aspirasi kumpulan untuk menjadikan bandar Elmina sebagai hab industri berprestasi tinggi, lengkap dengan infrastruktur sedia ESG dan kluster perindustrian tersusun. - DagangNews.com








