KUALA LUMPUR 20 Ogos – Hasrat penyedia perkhidmatan telekomunikasi, Silver Ridge Holdings Bhd untuk membina enam pusat data di Cyberjaya tidak kesampaian selepas rakan usahasamanya, Selangor Industrial Corporation Sdn. Bhd. (SIC), anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), menarik diri daripada perjanjian tersebut.
Projek itu dirancang dibangunkan di atas tanah milik PKNS seluas 3.24 hektar di Cyberjaya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Silver Ridge berkata anak syarikatnya, SR Total Digital Sdn. Bhd. telah menerima notis penarikan diri daripada SIC.
“Penarikan diri itu dibuat kerana SIC gagal mendapatkan kelulusan pajakan, resolusi lembaga pengarah, serta surat kuasa wakil terhad daripada PKNS bagi tanah berkenaan,” kata Silver Ridge.
Syarikat itu bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut mengenai langkah seterusnya susulan penarikan diri SIC
Projek pusat data di Cyberjaya itu mula diumumkan pada Mac 2024, apabila SR Total menandatangani perjanjian usahasama dengan SIC bagi menubuhkan tiga syarikat usaha sama.
Berdasarkan perjanjian itu, SR Total dijadual memegang 80% kepentingan manakala SIC memiliki baki 20%.
Peranan SIC adalah mendapatkan kelulusan PKNS untuk projek tersebut serta kuasa wakil terhad bagi membolehkan permohonan perintah pembangunan pusat data pertama dikemukakan.
SIC juga bertanggungjawab mendapatkan pajakan sekurang-kurangnya 60 tahun daripada PKNS sebelum disewakan semula kepada syarikat usaha sama.
SR Total pula bertanggungjawab membina, mengendalikan dan menyelenggara kampus pusat data berkenaan.
Usahasama dengan SIC itu pada asalnya bertujuan membantu Silver Ridge menembusi pasaran pusat data yang sedang berkembang serta membuka sumber pendapatan baharu, selain meningkatkan prestasi kewangan kumpulan dalam jangka panjang.
Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 31 Mac 2025, keuntungan bersih Silver Ridge melonjak kepada RM2.7 juta berbanding RM24,000 setahun lalu, didorong kontrak baharu dalam bidang telekomunikasi, penyelesaian IT dan pembinaan. Hasil syarikat turut meningkat 45% kepada RM33.5 juta. - DagangNews.com








