KUALA LUMPUR 21 Ogos – Siling baharu berjumlah RM16.8 bilion bagi Projek Transit Aliran Ringan (LRT) Mutiara Line bukanlah peningkatan kos tidak terkawal, sebaliknya pelarasan itu mencerminkan keadaan pasaran semasa, kata Malaysia Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. (MRT Corp).
Syarikat itu berkata, semakan tersebut dibuat berdasarkan data pasaran 2024 dengan mengambil kira faktor inflasi rantaian bekalan global, kenaikan nilai tanah serta kerja tambahan di Macallum dan Pulau Silikon.
“Pada Disember 2024, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan siling bajet projek ini sebanyak RM16.8 bilion dan MRT Corp telah diberikan mandat untuk memastikan kos kekal lebih rendah.
“Kos sebenar projek akan bergantung kepada keputusan tender terbuka yang sedang dan bakal dijalankan,” kata MRT Corp dalam satu kenyataan.
Pada Januari lalu, MRT Corp telah menganugerahkan Pakej Kontrak Utama Awam 1 bernilai RM8.31 bilion kepada SRS Consortium Sdn. Bhd secara bersyarat.
Namun, jumlah kontrak tersebut berjaya dikurangkan kepada RM7.93 bilion selepas latihan pengurusan nilai (value management exercise) dijalankan pada April.
MRT Corp menegaskan kadar siling tersebut juga meliputi kos pengambilan tanah yang kini dianggarkan sebanyak RM2 bilion, manakala baki RM6.8 bilion diperuntukkan bagi Pakej Kontrak Utama Awam 2, depot Sungai Nibong, kontrak turnkey sistem, serta kos perundingan dan pengurusan projek.
Jajaran dan Fasa Pelaksanaan
LRT Mutiara Line akan merentasi jajaran sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen, bermula dari Pulau Silikon ke Komtar sebelum disambungkan ke Penang Sentral di Butterworth.
Bagi fasa pertama, ia melibatkan jajaran 24 kilometer dari Komtar ke Island A, yang akan menempatkan 19 stesen bersama kerja-kerja sokongan.
Dalam pada itu, MRT Corp turut menekankan bahawa anggaran kos asal bagi Projek LRT Bayan Lepas Pulau Pinang pada tahun 2016 ialah RM10 bilion untuk jajaran dari Pulau Silikon ke Komtar.
Namun, selepas Kerajaan Persekutuan mengambil alih projek tersebut pada awal 2024, jajaran telah dilanjutkan hingga ke Penang Sentral, sekali gus meningkatkan lagi kos sebanyak RM3 bilion kepada RM13 bilion.
Untuk rekod, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, sebelum ini menegaskan projek tersebut akan dibiayai secara terus melalui peruntukan perbelanjaan pembangunan Kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan sebarang liabiliti kewangan pada masa hadapan. - DagangNews.com








