KUALA LUMPUR 14 Mei – Signature Alliance Group Bhd, anak syarikat pembuat dapur dan almari pakaian Signature International Bhd melancarkan tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran ACE dengan sasaran mengumpul RM161.2 juta.
IPO itu melibatkan terbitan 260 juta saham baharu biasa, mewakili 26% daripada modal saham diperbesarkan Signature Alliance pada harga 62 sen sesaham. Tiada saham sedia ada dijual dalam penyenaraian itu.
Sebanyak 50 juta saham diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, 30 juta kepada individu yang layak dan telah menyumbang kepada syarikat, serta 20 juta saham untuk pemegang saham layak Signature International.
Sejumlah 125 juta saham diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan melalui penempatan persendirian, manakala 35 juta saham lagi kepada pelabur terpilih.
Permohonan ditutup pada 21 Mei dan penyenaraian dijangka pada 5 Jun 2025.
Daripada hasil terbitan, RM12 juta akan digunakan untuk mengembangkan pejabat di Pulau Pinang dan membuka cawangan baharu di Johor, RM20 juta bagi modal kerja, RM4 juta untuk membayar balik pinjaman berkaitan peralatan dan jentera, serta RM7.1 juta untuk perbelanjaan penyenaraian.
Signature International memegang 50.7% dalam Signature Alliance, namun akan berkurang 37.5% selepas IPO.
Chin Hin Group Bhd memiliki 71.72% dalam Signature International, secara tidak langsung mengawal Signature Alliance.
Pegangan gabungan 49.3% oleh pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan, Darren Chang; CEO Wilayah Utara, Ng Mun Moh dan CEO Wilayah Tengah, Foo Khai Shin turut berkurang kepada 36.5% selepas IPO.
Signature Alliance menawarkan perkhidmatan kerja dalaman dan pembinaan bangunan merangkumi perancangan projek, pertukangan khas, kelengkapan dalaman, dan pembuatan perabot kayu.
M&A Securities dan Affin Hwang Investment Bank bertindak sebagai penaja jamin bersama untuk 100 juta saham yang diperuntukkan kepada orang awam Malaysia, pengagihan borang merah jambu, dan pemegang saham layak Signature International.- DagangNews.com








