KUALA LUMPUR 25 April - Siemens Energy mengukuhkan komitmennya terhadap pembangunan tenaga bersih di Sarawak dengan membekalkan dua turbin gas, masing-masing dengan kapasiti 500 megawatt (MW), bagi menyokong loji jana kuasa di Samalaju.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), pengumuman tersebut dibuat oleh Pengarah Urusan Siemens Energy Asia Pasifik, Thorbjorn Fors, semasa kunjungan hormat ke atas Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Wisma Bapa Malaysia hari ini.
Siemens Energy baru-baru ini dianugerahkan projek untuk membekalkan dua unit turbin gas 500MW untuk loji jana kuasa di Samalaju, Bintulu, sekali gus menunjukkan keyakinan syarikat terhadap kestabilan dasar dan potensi sektor tenaga Sarawak.
Semasa pertemuan tersebut, Siemens Energy menyatakan minat untuk bekerjasama dalam memajukan ekonomi hidrogen Sarawak, termasuk mempercepatkan pengeluaran dan penggunaan hidrogen, serta meningkatkan kemahiran tenaga kerja tempatan.
Syarikat itu juga komited untuk bekerjasama dengan universiti dan institusi pendidikan di Sarawak bagi menyediakan peluang latihan dan pembangunan untuk pelajar.
Fors berkata, mereka komited untuk bekerja dengan universiti dan institusi lain di Sarawak untuk berkongsi pengetahuan mereka dan membawa pelajar ke Siemens Energy untuk latihan masa depan.
Siemens Energy juga menekankan potensi besar Sarawak dalam sektor tenaga bersih, memandangkan sumber semulajadi yang kaya seperti hidro, minyak, dan gas.
Syarikat itu melihat Sarawak sebagai pemain utama dalam grid tenaga ASEAN dan pengeluar molekul tenaga bersih seperti ammonia dan gas.
Dengan pembekalan dua turbin gas berkapasiti tinggi untuk projek Samalaju, Siemens Energy berharap dapat melangkah ke peringkat seterusnya dalam merealisasikan projek tersebut, yang merupakan sebahagian daripada program lebih luas yang dibincangkan dengan Premier.
Kerjasama itu juga selaras dengan aspirasi Sarawak untuk menjadi hab tenaga hijau ASEAN menjelang 2035, dengan sasaran peningkatan kapasiti elektrik 10 gigawatt (GW) menjelang 2030 dan 15GW menjelang 2035.
Siemens Energy juga telah membuktikan keupayaan turbin gasnya untuk beroperasi dengan 100% hidrogen melalui projek seperti Hyflexpower, menjadikan syarikat ini rakan strategik ideal dalam usaha Sarawak untuk mencapai matlamat tenaga bersih dan mampan.- DagangNews.com








