KUALA LUMPUR 9 Mei - Syarikat automasi Jerman, Sick AG, melabur hampir RM1 bilion di Johor melalui anak syarikat tempatan, Sick Sdn Bhd, untuk membangunkan hab pembuatan berteknologi tinggi di Senai Airport City.
Pembangunan secara berperingkat itu dimulakan dengan pelaburan RM280 juta pada Fasa 1 menjelang 2026, akan meliputi kawasan seluas 10 hektar.
Projek berkenan akan memberi tumpuan kepada teknologi sensor canggih untuk pasaran automasi global.
Pengembangan Sick adalah antara projek besar yang memberi impak tinggi di Johor, bakal mencipta 2,500 peluang pekerjaan untuk jawatan berkemahiran tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Perdagangan, Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia Negeri Johor, Lee Ting Han berkata, kerajaan negeri melihat pelaburan berkenaan sebagai tanda keyakinan terhadap ekosistem industri Johor.
Katanya, ia mencerminkan cita-cita Johor untuk menjadi pusat pembuatan pintar terkemuka di Asia Tenggara.
"Ini bukan hanya pelaburan, tetapi satu kerjasama jangka panjang yang selari dengan strategi Johor untuk membina ekonomi yang mampan melalui inovasi, pembangunan bakat dan persediaan menghadapi Industri 4.0," katanya selepas majlis pecah tanah semalam seperti laporan New Straits Times.
Projek itu juga dijangka memperkukuh hubungan antara industri dan pakar akademik, dengan Sick merancang untuk bekerjasama dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam pembangunan bakat serta penyelidikan dan pembangunan.
Inisiatif tersebut sejajar dengan usaha Majlis Pembangunan Bakat Johor untuk menyelaraskan laluan pendidikan dengan industri bernilai tinggi.
Tapak projek berada di sebuah taman perindustrian paling cekap di negara ini, yang mendapat kemudahan di bawah inisiatif Kulai dan Johor Fast Lane.
Ia juga berada di lokasi strategik dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), iaitu inisiatif bersama yang bertujuan meningkatkan hubungan, mempercepat proses kastam dan menarik pelaburan berasaskan inovasi.
Ting Han dalam pada itu berkata, pihaknya optimis inisiatif JS-SEZ akan membantu mengurangkan cabaran sambil meningkatkan daya tarikan Johor sebagai pusat pembuatan teknologi.
Sick beroperasi di Johor sejak tahun 2010 dengan semua 450 pekerja terdiri daripada rakyat tempatan.
Ketika pandemik, syarikat tersebut tetap dapat mengekalkan rantaian bekalan global walaupun dengan kekangan tenaga kerja. - DagangNews.com








