Shell pertimbang ambil alih BP jika harga saham turun | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Shell pertimbang ambil alih BP jika harga saham turun

KUALA LUMPUR 5 Mei - Syarikat tenaga gergasi, Shell Plc kini sedang mempertimbangkan kemungkinan mengambil alih BP Plc, namun masih menunggu harga saham dan minyak mentah turun sebelum membuat sebarang keputusan.

 

Menurut laporan Bloomberg yang memetik sumber terdekat, Shell masih dalam perbincangan bagi melihat sama ada pengambilalihan BP merupakan langkah yang menguntungkan dan sesuai pada masa ini. 

 

Namun, keputusan muktamad hanya akan dibuat jika saham BP terus menunjukkan penurunan.

 

Dalam tempoh 12 bulan lalu, saham BP telah susut hampir satu pertiga daripada nilainya berikutan rancangan pemulihan syarikat itu yang kurang meyakinkan pelabur, selain kejatuhan harga minyak.

 

BP dan Shell beberapa tahun lalu mempunyai nilai pasaran yang hampir sama.

 

Namun kini Shell berkembang hampir dua kali ganda lebih besar daripada BP, dengan nilai pasaran mencecah kira-kira RM831.97 bilion.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Shell, Wael Sawan berkata, beliau sebenarnya lebih berminat untuk membeli semula saham Shell. 

 

"Shell perlu memastikan syarikat berada dalam keadaan kukuh terlebih dahulu sebelum mempertimbangkan pembelian besar," katanya ketika ditanya oleh Financial Times tentang kemungkinan pembelian BP.

 

Jika pengambilalihan tersebut berlaku, Shell bakal menjadi pemain lebih dominan dalam industri tenaga global dan berpotensi menyaingi syarikat seperti Exxon dan Chevron. 

 

Shell baru-baru ini mengumumkan keputusan kewangan suku pertama yang kukuh serta melancarkan program pembelian semula saham bernilai RM14.69 bilion.

 

Menurut sumber, Shell mungkin akan menunggu BP untuk mengambil langkah pertama atau menunggu pihak ketiga membuat tawaran terlebih dahulu. 

 

Buat masa ini, segala perbincangan masih di peringkat awal dan Shell juga akan memberi tumpuan untuk membeli saham dan pemerolehan syarikat kecil yang lebih strategik, bukannya penggabungan mega seperti dengan BP.

 

BP enggan mengulas mengenai laporan tersebut.

 

Sementara itu, BP di bawah pimpinan Ketua Pegawai Eksekutif, Murray Auchincloss, sedang berusaha meningkatkan keuntungan dengan mengurangkan kos dan menjual aset bernilai RM83.93 bilion menjelang 2027. 

 

Syarikat berkenaan turut mengurangkan perbelanjaan dan memperkenalkan semula program pembelian balik saham.

 

BP juga mengumumkan, Ketua Strateginya akan meninggalkan syarikat, satu langkah yang dilihat sebagai usaha untuk mengembalikan keyakinan pelabur. 

 

Ini berlaku selepas firma pelaburan, Elliott Investment Management, menuntut perubahan strategi dan mendesak pengurangan kos operasi bagi meningkatkan aliran tunai syarikat. 

 

Elliott kini memiliki lebih 5% pegangan dalam BP, menjadikannya antara pemegang saham utama selepas BlackRock dan Vanguard. - DagangNews.com