Shell LiveWIRE kembali, buka peluang kepada usahawan tempatan seluruh negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Shell LiveWIRE kembali, buka peluang kepada usahawan tempatan seluruh negara

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 22 April - Shell Malaysia kembali menganjurkan program Shell LiveWIRE Malaysia tahun ini, bertujuan membantu dan memberi inspirasi kepada usahawan baharu dalam memulakan perjalanan perniagaan mereka.

 

Melalui beberapa siri bengkel, peserta akan dibimbing untuk membangunkan atau menambah baik idea perniagaan, menguji model perniagaan dan membina asas kukuh untuk berjaya sebagai usahawan.

 

Di akhir program, peserta juga akan menyertai bengkel pembentangan idea dan pertandingan untuk melatih kemahiran penting bagi mengembangkan perniagaan mereka.

 

Shell berkata, pihaknya sedang mencari usahawan yang membawa idea berimpak tinggi dalam kelestarian alam sekitar, kesejahteraan sosial dan daya cipta perniagaan.

 

"Shell LiveWIRE Malaysia akan dijalankan di Kuching, Kota Kinabalu dan Semenanjung Malaysia. 

 

"Lima pemenang dari setiap negeri akan menerima geran permulaan sebanyak RM10,000," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

Tambahnya, lima pemenang dari setiap negeri kemudian akan bersaing di peringkat kebangsaan, di mana lima pemenang utama berpeluang memenangi hadiah tambahan RM30,000.

 

"Selain geran, para pemenang juga akan menerima bimbingan dan sokongan daripada fasilitator Shell LiveWIRE Malaysia selama tiga tahun. 

 

"Mereka juga berpeluang untuk diserap ke dalam rantaian bekalan Shell serta menjalinkan kerjasama dengan pengedar Shell," jelas kenyataan itu.

 

Tarikh tutup permohonan ialah 12 Mei 2025 bagi Kuching, 9 Jun 2025 bagi Kota Kinabalu dan 7 Julai 2025 untuk peserta dari Semenanjung Malaysia. - DagangNews.com