Setel perkenal ciri tambah nilai secara tunai mudahkan pengguna PETRONAS nikmati pelbagai ganjaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Setel perkenal ciri tambah nilai secara tunai mudahkan pengguna PETRONAS nikmati pelbagai ganjaran

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 18 Dis — Setel memperkenalkan ciri baharu tambah nilai secara tunai (Cash Top-Up) yang membolehkan pelanggan menambah nilai Dompet Setel menggunakan wang tunai di stesen PETRONAS seluruh negara. 

 

Ciri ini memberi peluang kepada lebih ramai rakyat Malaysia terutamanya  pengguna tunai bagi menikmati kemudahan dan ganjaran dari aplikasi Setel tanpa memerlukan perbankan dalam talian atau kad.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Setel Abdullah Ayman Awaluddin berkata dengan satu kali pengesahan akaun, pelanggan boleh mengakses keseluruhan ekosistem Setel seperti pembelian bahan api (termasuk BUDI95), parkir, beli-belah dan manfaat mata ganjaran Mesra Rewards.  

 

“Cash Top-Up kini tersedia di lebih 1,000 stesen PETRONAS, memberikan akses mudah kepada semua pengguna, termasuk mereka yang biasanya membayar di kaunter. 

 

“Bantuan bagi mereka yang mahu menambah nilai dengan menggunakan tunai disediakan bagi memastikan pengalaman yang lancar tanpa sebarang kesulitan.

 

“Di Setel, kami memahami ramai rakyat Malaysia masih bergantung kepada wang tunai dan peranan kami adalah untuk menjadikan pembayaran harian lebih mudah dan pantas tanpa mengubah cara hidup mereka,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Melalui mekanisme baharu itu, pelanggan hanya perlu datang, tambah nilai menggunakan wang tunai dan terus menikmati pengalaman Setel. 

 

Seiring peluasan ciri ini ke seluruh negara, termasuk kawasan luar bandar dan kurang mendapat liputan, Setel komited memastikan lebih ramai rakyat Malaysia dapat menikmati kemudahan tersebut.

 

Beliau berkata, ini adalah langkah ke arah ekosistem digital yang lebih inklusif, bagi memudahkan kehidupan rakyat Malaysia, mengikut pilihan mereka.

 

“Cash Top-Up turut menangani isu baki eDompet yang tidak digunakan selepas mengisi minyak.  Dengan Setel, sebarang baki boleh digunakan untuk parkir, beli-belah, servis kenderaan, pembayaran melalui DuitNow QR dan banyak lagi, memastikan setiap ringgit dimanfaatkan sepenuhnya tanpa pembaziran.

 

“Dalam usaha memperluas akses digital, kempen ‘Setel je! Senangnya’ dengan kerjasama Mesra Rewards yang sedang berlangsung, memberi peluang kepada pengguna baharu untuk merasai sendiri kemudahan aplikasi Setel. 

 

“Melalui kempen ini, pengguna baharu termasuk mereka yang mengutamakan tunai menerima RM10 serta merta untuk mencuba mengisi minyak menggunakan Setel dengan kod [C-SENANG],” katanya.

 

Mereka juga peluang berkongsi 60,000,000 mata ganjaran Mesra Rewards dan mengumpul penyertaan untuk memenangi hadiah bernilai RM320,000 selepas melengkapkan pengisian minyak pertama.  

 

Lebih banyak penyertaan boleh diperoleh dengan terus menggunakan Setel untuk mengisi minyak, membeli-belah, parkir membuat pembayaran atau mempelawa rakan turut menggunakan Setel.

 

Kempen ini berlangsung sehingga 31 Januari 2026. - DagangNews.com