KUALA LUMPUR 8 Dis – Pembangunan Berorientasikan Transit Seremban Sentral bernilai pembangunan kasar (GDV) RM2 bilion dijangka menjana hasil perniagaan sehingga RM300 juta setahun serta mewujudkan kira-kira 2,500 peluang pekerjaan baharu, menurut Sunway dalam kenyataan bersama dengan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) baru baru ini.
Majlis pecah tanah projek itu berlangsung di atas tanah seluas 20.8 ekar, menandakan permulaan rasmi pembangunan yang bakal mengubah landskap ekonomi bandar Seremban sebagai hab bandar moden.
Menurut Sunway, pembangunan tersebut akan menjana limpahan ekonomi berterusan merangkumi sektor kesihatan, peruncitan, logistik, pelancongan dan perkhidmatan, sekali gus merangsang aktiviti perniagaan tempatan dalam jangka panjang.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, Seremban Sentral akan menjadi pemangkin baharu pembangunan bandar yang menyeluruh.
“Seremban Sentral bukan sekadar projek fizikal, tetapi satu titik perubahan penting kepada masa depan ekonomi dan sosial bandar ini. Kerjasama kerajaan negeri, agensi teknikal dan pihak pemaju menjadi asas kepada kejayaan projek ini,” katanya ketika berucap pada majlis itu.
Majlis tersebut turut disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Pengangkutan Negeri Sembilan, Arul Kumar Jambunathan, Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah, serta Pengerusi Lembaga Pengarah RAC merangkap Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Datuk Seri Jana Santhiran Muniayan.
Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif RAC, Datuk Azhar Ahmad, Timbalan Presiden Kumpulan Sunway, Datuk Mohd Anuar Taib dan Pengarah Urusan Kanan Kumpulan Sunway, Datuk Tan Kia Loke.

Menurut Sunway dalam kenyataan bersama itu, Fasa Pertama pembangunan akan bermula pada 2026 dengan tiga komponen teras utama:
1. Sunway Medical Centre Seremban
o Hospital moden lebih 250 katil
o Keluasan 480,000 kaki persegi
o Hospital pertama di Negeri Sembilan dibina bersebelahan Stesen Keretapi Seremban
2. Pusat beli-belah baharu
o Keluasan 1.2 juta kaki persegi
o Diuruskan oleh Sunway Malls
o Dijangka menjadi hab komersial dan gaya hidup baharu Seremban
3. Menara pejabat
o Keluasan 300,000 kaki persegi
o Menawarkan ruang kerja moden dan fleksibel
Kesemua komponen ini disasarkan siap menjelang 2030. Fasa Kedua, melibatkan pembangunan kediaman, komersial dan serviced apartment berkeluasan 3.2 juta kaki persegi, akan dibangunkan secara berperingkat dari 2029 hingga 2039.
Menurut Sunway, pembangunan ini akan memberi tiga impak ekonomi utama kepada Negeri Sembilan:
• Peluang pekerjaan:
Sekurang-kurangnya 2,500 pekerjaan baharu melibatkan sektor peruncitan, pengurusan hartanah, logistik dan perkhidmatan.
• Lonjakan hasil ekonomi:
Sehingga RM300 juta hasil perniagaan setahun, termasuk sekurang-kurangnya RM15 juta pendapatan bulanan kepada tenaga kerja tempatan.
• Peningkatan mobiliti:
Diunjurkan 6,000 pengguna harian, menghubungkan kerja, kediaman, pusat kesihatan dan kemudahan gaya hidup.
Pengasas dan Pengerusi Kumpulan Sunway, Tan Sri Jeffrey Cheah berkata, Sunway komited sebagai rakan strategik jangka panjang kepada RAC.
“Sunway berhasrat memastikan pembangunan Seremban Sentral memberi manfaat ekonomi, sosial dan komuniti secara menyeluruh. Kerjasama dengan RAC ini akan menyokong pertumbuhan Negeri Sembilan secara mampan dan inklusif,” katanya.
Menurut Sunway lagi, nilai sejarah Seremban turut dipelihara melalui:
• Pemuliharaan dan naik taraf Seremban Yard sebagai bangunan kolonial bersejarah serta mengekalkan pokok matang sebagai identiti landskap asal.
• Penyusunan semula Heritage Market sebagai tarikan budaya dengan penyediaan ruang perniagaan yang lebih teratur dan berdaya tarikan. - DagangNews.com








