KUALA LUMPUR 18 Ogos - Sentral Real Estate Investment Trust (Sentral REIT) meneruskan usaha penstrukturan semula portfolio hartanahnya menerusi penjualan Wisma Sentral Inai kepada Turiya Properties Sdn Bhd berharga RM135 juta, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Katanya, langkah itu selaras dengan rancangan jangka panjang pengurusan untuk menyusun semula portfolio dan mengitar semula modal ke dalam aset yang menjana pendapatan lebih tinggi dalam segmen pejabat, runcit, perindustrian, penjagaan kesihatan dan pendidikan.
Firma penyelidikan itu berkata, penjualan itu diramal selesai menjelang suku keempat tahun kewangan 2025 (4QFY25) melibatkan sebuah bangunan pejabat pegangan bebas setinggi 12 tingkat yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Wisma Sentral Inai yang mempunyai keluasan bersih boleh disewa sebanyak 233,000 kaki persegi dan 310 petak letak kereta, telah dibiarkan kosong sejak Jun 2022 dan tidak lagi menyumbang kepada pendapatan kumpulan sejak itu.
"Hasil pelupusan ini akan digunakan untuk bayaran balik hutang dan ia membolehkan kadar hutang menysuut daripada 0.45x kepada 0.42x, sekaligus memberikan ruang kewangan yang lebih besar untuk pengambilalihan masa hadapan.
“Penjualan aset ini menyokong matlamat jangka panjang kumpulan untuk menstruktur semula portfolio kepada aset yang berprestasi tinggi dan memberikan hasil yang lebih menarik, di samping meningkatkan kecekapan penggunaan modal.
"Sentral REIT sedang giat mencari peluang pelaburan semula dalam sektor yang menawarkan kestabilan dan potensi pertumbuhan yang lebih tinggi," katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB menyambut laingkah itu kerana ia selari dengan strategi kitar semula modal Sentral REIT dan walaupun dijangka mencatat kerugian pelupusan bersih sekitar RM4 juta berikutan nilai buku Wisma Sentral Inai sebanyak RM150 juta, transaksi itu dilihat sebagai perkembangan positif.
Katanya, tiada perubahan dibuat terhadap unjuran pendapatan kerana Wisma Sentral Inai tidak lagi menyumbang kepada hasil sejak pertengahan 2022.
"Sentral REIT terus menunjukkan prestasi kukuh melalui portfolio pejabat dan kekal sebagai pilihan utama dalam kalangan REIT Malaysia dengan hasil dividen melebihi 7% — yang tertinggi dalam liputan sektor ini.
"Dengan kedudukan kewangan yang lebih kukuh, kadar penghunian yang semakin baik, dan strategi yang jelas untuk menyasar sektor berhasil tinggi, Sentral REIT berada dalam kedudukan yang kukuh untuk merebut peluang pertumbuhan baharu dan mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai pelaburan berasaskan hasil yang berdaya tahan," katanya.
Frima penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran 88 sen sesaham.- DagangNews.com








