Sentral REIT jana RM19.61 juta, rancang pelbagaikan aset bagi kurangkan risiko dan maksimumkan portfolio | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentral REIT jana RM19.61 juta, rancang pelbagaikan aset bagi kurangkan risiko dan maksimumkan portfolio

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 9 Mei – Sentral Real Estate Investment Trust (REIT) merancang untuk mempelbagaikan asas aset sebagai langkah menyusun semula portfolio dan mengembangkan pertumbuhan.

 

Sentral REIT mencatatkan keuntungan bersih RM19.61 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2025 (1QFY25), sedikit menurun berbanding RM19.9 juta pada tempoh sama tahun lalu.

 

Pendapatan turut susut kepada RM47.46 juta berbanding RM49.69 juta pada 1QFY24, manakala pendapatan sesaham merosot kepada 1.64 sen daripada 1.66 sen.

 

Pengurusan Sentral REIT kini merancang memperluaskan portfolio aset meliputi segmen pejabat, runcit, perindustrian, pendidikan, dan penjagaan kesihatan, sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhan dan penyusunan semula portfolio.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Sentral REIT Management Sdn Bhd, Derek Teh Wan Wei berkata, langkah itu akan mengurangkan risiko khusus sektor, memperkukuh aliran pendapatan hartanah, dan memaksimumkan potensi pertumbuhan portfolio.

 

"Sentral masih mengekalkan portfolio pejabat yang kukuh, namun kami kini bergerak ke arah pemelbagaian aset secara strategik," katanya dalam satu kenyataan.

 

Sentral REIT turut menilai pilihan pelupusan aset secara strategik bagi memastikan pulangan jangka panjang yang mampan kepada pemegang unit.

 

Setakat 2025, sekitar 460,000 kaki persegi atau 21% ruang boleh disewa bakal tamat tempoh sewaan, termasuk 20,000 kaki persegi yang tamat pada 1QFY25, dengan 85% daripadanya berjaya diperbaharui.

 

Purata kadar penghunian berada pada 84% dengan tempoh pajakan purata berbaki 4.74 tahun.

 

"Kami telah memulakan rundingan awal untuk pembaharuan pajakan dan pemasaran proaktif ruang kosong, dengan sasaran mengekalkan dan meningkatkan kadar penghunian tahun ini," tambah Derek.- DagangNews.com