KUALA LUMPUR 28 Mei - Sentral REIT akan membeli 38 unit runcit bertingkat dan 1,432 petak letak kereta di Arcoris Plaza, Mont Kiara daripada UEM Sunrise Bhd dengan harga tunai RM70 juta.
Amanah pelaburan hartanah itu berkata, pemegang amanahnya, Maybank Trustees Bhd, telah menandatangani perjanjian jual beli dengan Arcoris Sdn Bhd dan Sun Victory Sdn Bhd yang juga anak syarikat milik penuh UEM Sunrise.
Aset baharu itu terletak kurang 500 meter dari hartanah Plaza Mont Kiara (PMK), yang turut dimiliki Sentral REIT.
"Pembelian ini boleh memudahkan pengurusan dan memberi lebih pilihan kepada penyewa apabila digabungkan dengan PMK.
"Kedua-dua hartanah ini juga boleh membantu kami memenuhi keperluan orang ramai di kawasan pejabat dan perumahan berdekatan," kata Sentral REIT dalam makluman di Bursa Malaysia.
Unit-unit kedai berkenaan kini semuanya telah disewa untuk perniagaan makanan dan minuman, gaya hidup, kesihatan dan pendidikan.
Kebanyakan penyewa membayar sewa berdasarkan jumlah jualan.
Sentral REIT menjangka, pembelian itu akan meningkatkan keuntungan bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2025.
Urusan pembelian dijangka selesai pada suku keempat tahun ini.
Pembelian tersebut akan dibiayai melalui pinjaman bank, yang akan meningkatkan nisbah hutang Sentral REIT daripada 44.6% kepada 46.1%.
Setakat akhir Mac 2025, Sentral REIT mempunyai tunai dan setara tunai sebanyak RM24.98 juta, manakala jumlah pinjaman jangka panjang ialah RM1.17 bilion. - DagangNews.com








