Sentimen pengguna dianggar kekal lemah dipengaruhi tekanan inflasi, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sentimen pengguna dianggar kekal lemah dipengaruhi tekanan inflasi, kata RHB Research

Gambar: Naim Aziz/DagangNews
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Julai - Sentimen pengguna dianggar kekal lemah dipengaruhi tekanan inflasi yang tinggi serta ketidaktentuan dalam prospek ekonomi dan pendapatan akibat ketegangan perdagangan global, kata RHB Research.

 

Katanya, pengguna yang terjejas oleh inflasi akan terus berbelanja secara berhati-hati, mengutamakan pembelian barangan keperluan dan mencari tawaran yang bernilai, sekali gus mengehadkan perbelanjaan tidak wajib.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, tumpuan kini terarah kepada pelaksanaan rasionalisasi subsidi petrol yang dijangka berlaku dalam masa terdekat tahun ini, bagi menilai sama ada kesan sebenar terhadap perbelanjaan pengguna dapat dihadkan.

 

"Angka pertumbuhan dijangka menyederhana pada suku kedua 2025, terutamanya bagi peruncit selepas mempamerkan prestasi kukuh pada suku pertama 2025 yang dipacu oleh sambutan Hari Raya Aidilfitri yang lebih awal," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Research berkata, dalam persekitaran kos operasi yang semakin meningkat (peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST), semakan tarif elektrik, caruman KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) untuk pekerja asing), pihaknya meragui syarikat-syarikat akan mampu memindahkan sepenuhnya kos tambahan kepada pengguna memandangkan keanjalan permintaan dan peraturan anti-pencatutan yang sedang berkuat kuasa.

 

katanya, margin mungkin menjadi lemah, khususnya bagi peruncit (Aeon, Padini, MyNews, Focus Point), melainkan terdapat peningkatan kecekapan operas ketara bagi mengimbangi kesan tersebut.

 

"Sebaliknya, keadaan kelihatan lebih positif bagi pengeluar makanan (Nestle, FFB, Power Root) apabila harga komoditi semakin menyusut dan pengukuhan ringgit dijangka menyumbang kepada prospek margin yang lebih memberangsangkan," katanya.

 

Firma penyelidikan itu menyukai FFB kerana langkahnya yang agresif untuk menembusi lebih banyak segmen dalam industri tenusu.

 

RHB Research juga Guan Chong kerana prospek pendapatannya yang kukuh, disokong jualan hadapan pada nisbah gabungan yang tinggi serta volum pengeluaran yang kembali normal.

 

"Focus Point juga dinilai pada paras menarik, meskipun momentum jualan optikal yang berterusan hasil daripada peningkatan populasi rabun dan usaha pemasaran yang proaktif," katanya.- DagangNews.com