KUALA TERENGGANU 14 Okt — Terengganu terus mengorak langkah menjadi peneraju pembangunan bandar pintar di Pantai Timur melalui penganjuran Terengganu Smart City Activation 2025 (TSCA.25) yang menghimpunkan ratusan wakil agensi kerajaan, pemain industri, ahli akademik dan komuniti teknologi negeri.
Program tahunan anjuran PLANMalaysia@Terengganu itu menjadi platform penting bagi mempamerkan pencapaian, memperkukuh kolaborasi dan menyorot impak positif pelaksanaan pelan tindakan Smart Terengganu 2040 ke arah negeri digital dan berdaya saing.
TSCA.25 turut memperlihatkan pelancaran beberapa pelan tindakan bandar pintar baharu yang bakal memperkukuh perancangan strategik di peringkat daerah serta membolehkan setiap pelaksanaan disesuaikan dengan keperluan dan potensi setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Negeri, Datuk Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, inisiatif bandar pintar Terengganu bukan sekadar memodenkan infrastruktur, tetapi membina ekosistem pentadbiran berasaskan data dan teknologi yang berpaksikan nilai Islam serta kesejahteraan rakyat.
“Kerajaan Negeri mahu memastikan pembangunan pintar yang dilaksanakan bukan sahaja meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam dan ekonomi digital, tetapi juga memperkasa komuniti serta memperkukuh nilai moral dan budaya tempatan,” katanya semasa berucap merasmikan program tersebut di sini hari ini.

Beliau berkata, sejak pelaksanaan Smart Terengganu 2040, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan termasuk pengurusan bandar pintar, pembangunan ekosistem digital dan penglibatan komuniti secara aktif bagi memastikan transformasi negeri dilaksanakan secara menyeluruh.
Tambahnya, kejayaan bandar pintar tidak boleh diukur hanya melalui teknologi yang digunakan, tetapi melalui nilai, kolaborasi dan sinergi antara semua pihak termasuk pihak berkuasa tempatan, jabatan teknikal, universiti, industri dan masyarakat setempat.
“Bandar pintar bukan projek teknologi semata-mata, tetapi satu perubahan budaya kerja, cara berfikir dan pendekatan urus tadbir yang berasaskan ilmu, data dan tindakan strategik,” katanya.
Beliau menegaskan semua lapan daerah di Terengganu sudah mempunyai pelan tindakan bandar pintar baharu dan Terengganu kini melangkah ke fasa pelaksanaan sebenar yang lebih konkrit dan bersedia mengemudi arus Revolusi Industri 4.0 mengikut acuan sendiri.
“Insya-Allah dengan semangat kerjasama ini, Terengganu akan terus ke hadapan sebagai peneraju bandar pintar Pantai Timur, sebuah negeri yang bukan sahaja maju dan berdaya saing, tetapi juga berkat dan sejahtera,” ujarnya. - DagangNews.com








