KUALA LUMPUR 15 Julai – Semico Capital Bhd, pembekal mesin arked permainan video telah memfailkan permohonan untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia bagi mengumpul dana untuk memperluaskan operasi perniagaan permainan dan barangan koleksi.
Syarikat yang diterajui oleh pasangan suami isteri itu kini mengedarkan produk daripada 53 jenama termasuk Pop Mart yang terkenal dengan boneka Labubu dan merancang untuk menambah inventori permainan serta barangan koleksi popular dan terkini.
“Ini sebahagian daripada rancangan pengembangan kami bagi mengekalkan pelanggan sedia ada serta menarik pelanggan baharu dalam pasaran yang sedang berkembang,” kata Semico dalam prospektus draf yang diterbitkannya.
Berpengkalan di Kuala Lumpur, Semico memulakan perniagaan sebagai pemborong mesin arked dan hiburan lebih dua dekad lalu dan kini turut mengendalikan satu pusat hiburan keluarga di The Mines.
Bahagian permainan dan koleksi syarikat pula melibatkan jualan borong kepada kedai serbaneka, kedai hobi dan pengendali arked.
Bagi tahun kewangan terkini, Semico mencatat keuntungan bersih sebanyak RM6.7 juta dengan hasil pendapatan RM22.1 juta.
Bahagian hiburan keluarga menyumbang 45% kepada pendapatan manakala bahagian permainan dan koleksi menyumbang 55%.
Selain membeli inventori permainan baharu, Semico turut merancang memperoleh 188 mesin arked dan hiburan tambahan bagi mengembangkan model perniagaan perkongsian hasil dan sewaan.
“Pelanggan sedia ada kami sedang berkembang dan membuka lebih banyak pusat hiburan keluarga.
“Kami juga mendapat banyak pertanyaan daripada bakal pelanggan Baharu yang membuka peluang kepada kami untuk membekalkan lebih banyak mesin dan meluaskan capaian pasaran,” katanya.
Sebahagian daripada hasil IPO juga akan digunakan untuk menggantikan 55 mesin arked sedia ada termasuk mesin ‘claw’ dan permainan lumba yang telah berusia lebih lima tahun dan susut nilai sepenuhnya.
Secara keseluruhan, Semico memiliki sebanyak 603 mesin hiburan dan arked.
Cadangan IPO melibatkan terbitan awam sebanyak 92.67 juta saham baharu bagi mengumpul dana kepada syarikat serta tawaran untuk penjualan 18 juta saham sedia ada yang akan memberi manfaat terus kepada pemegang saham utama iaitu Ketua Pegawai Eksekutif, Tai Lee Chuen dan isterinya merangkap Pengarah Eksekutif, Ang Sew Fong.
Affin Hwang Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama, penaja, ejen penempatan dan penaja jamin tunggal bagi penyenaraian ini. - DagangNews.com








