Semakan tarif pelabuhan diramal lonjak prestasi Westports, bergantung kepada kelulusan kerajaan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Semakan tarif pelabuhan diramal lonjak prestasi Westports, bergantung kepada kelulusan kerajaan

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 17 April - Westports Holdings Bhd dijangka menerima manfaat daripada cadangan semakan tarif pelabuhan yang berkemungkinan dilaksanakan antara September hingga Oktober 2025, tertakluk kepada kelulusan kerajaan.

 

Semakan tarif tersebut dilihat mampu meningkatkan margin keuntungan, menambah baik kecekapan operasi, serta menyokong rancangan peluasan kapasiti jangka masa hadapan.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research berkata, semakan tarif itu dijangka melibatkan segmen pintu masuk yang kini dikenakan caj RM300 bagi setiap unit dua puluh kaki (TEU).

 

Manakala segmen pemindahan penghantaran pada kadar RM182 per TEU masih tertakluk kepada perjanjian antara operator pelabuhan dan syarikat perkapalan.

 

"Buat masa ini, kami belum mengambil kira potensi semakan ini dalam unjuran bagi mengekalkan pendekatan konservatif," katanya dalam satu nota kajian.

 

HLIB turut menjangkakan prestasi Westports kekal kukuh meskipun berdepan risiko kelembapan perdagangan global, memandangkan pelabuhan itu kini beroperasi pada kadar penggunaan hampir optimum 80% daripada kapasiti 14 juta TEU pada 2024.

 

"Walaupun Terminal Kontena 10 (CT10) dan Terminal Kontena 11 (CT11) bakal menambah kapasiti baharu, ianya dijangka beroperasi pada pertengahan 2028 dan akhir 2029.

 

"Namun, pertumbuhan keupayaan pengendalian Westports dilihat terhad untuk jangka sederhana. Sebelum pelaksanaan tarif baharu, pihak pengurusan hanya menjangkakan pertumbuhan sederhana sebanyak 400,000 TEU setahun disebabkan kekangan kapasiti," katanya.

 

Firma penyelidikan itu turut menyifatkan, landskap perdagangan global sebagai kekal dan tidak menentu, namun masih berpotensi distabilkan melalui penyelesaian diplomatik.

 

HLIB mengekalkan saranan "beli" ke atas saham Westports dengan harga sasaran RM5. 

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan prestasi pendapatan kekal stabil, disokong oleh semakan tarif yang dijangka pada 2025, dan jumlah kargo yang konsisten meskipun terdapat kebimbangan terhadap dagangan dunia yang lemah.

 

"Cadangan pelaksanaan Pelan Pelaburan Semula Diagnostik (DRP) juga berpotensi meningkatkan nilai pemegang saham serta menyokong keperluan perbelanjaan modal dalam tempoh sederhana," katanya.- DagangNews.com