KUALA LUMPUR 25 Sept – Tourism Selangor dan Lenggong Geopark, Perak menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) memperkukuh kolaborasi geopark dan pembangunan pelancongan mampan di Malaysia.
Majlis menandatangani MoU yang berlangsung di Resort Tasik Raban, Lenggong turut dihadiri agensi kerajaan, pemain industri dan rakan strategik.
MoU itu mencerminkan komitmen bersama antara Gombak Hulu Langat Geopark dan Lenggong Geopark untuk perkongsian ilmu, pembangunan kapasiti serta penglibatan komuniti selaras dengan piawaian geopark global.
Exco Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim berkata, kerajaan negeri sangat komited dalam memajukan sektor pelancongan sebagai salah satu pemacu utama ekonomi.
“Kerjasama ini bukan sekadar perkongsian kepakaran, tetapi juga berpotensi memacu pembangunan mampan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“Dengan Gombak Hulu Langat Geopark kini diwartakan sebagai Geopark Kebangsaan, Selangor telah mengenal pasti 31 geo tapak dengan 20 daripadanya berpotensi tinggi sebagai produk pelancongan.
“Aspirasi kami jelas, iaitu meletakkan Gombak Hulu Langat Geopark ini sebagai UNESCO Global Geopark menjelang tahun 2028,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Inisiatif itu turut menyokong Tahun Melawat Selangor 2025 yang menyasarkan 8 juta pelancong, melalui penawaran produk pelancongan yang inovatif, inklusif dan mampan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Chua Yee Ling berkata, MoU tersebut merupakan pencapaian penting dalam usaha Gombak Hulu Langat Geopark meraih pengiktirafan antarabangsa.
“Ia memerlukan dedikasi, kerjasama dan pelan strategi yang bersepadu.
“Lenggong Geopark, yang kini berada pada fasa Aspiring UNESCO Global Geopark selepas penilaiannya di Chile, menyediakan pengalaman berharga untuk kita pelajari.
“Melalui kerjasama ini, terdapat pelbagai peluang akan dibuka seperti pertukaran staf, latihan geo-guide, penganjuran bengkel akademik, seminar, kerjasama penyelidikan dan pelbagai inisiatif lain yang akan dikembangkan dari masa ke semasa,” tambahnya.
Kerjasama ini dijangka membuka peluang bagi Gombak Hulu Langat Geopark dan Lenggong Geopark untuk bersama-sama menyertai rangkaian berprestij UNESCO Global Geopark, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia dalam pelancongan mampan bertaraf dunia. - DagangNews.com








