Selain hartanah, segmen F&B, runcit dan hospitaliti dijangka raih manfaat projek RTS – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Selain hartanah, segmen F&B, runcit dan hospitaliti dijangka raih manfaat projek RTS – HLIB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Sept – Sektor runcit, makanan & minuman (F&B) serta hospitaliti diyakini akan menerima manfaat Projek Sistem Transit Rapid  Johor – Singapura (RTS) selepas ini, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).

 

Firma itu berkata, gelombang pertama manfaat projek tersebut sudah pun dinikmati segmen hartanah kediaman berhampiran Bukit Chagar sebelum ini.
 

HLIB berkata, limpahan trafik harian rentas sempadan sebaik sahaja RTS mula beroperasi akan menjadi pemangkin utama kepada pusat beli-belah, hotel dan jenama F&B tempatan di Johor Bahru. 

 

Firma itu berkata, aliran pengunjung Singapura sudah mula dirasai meskipun RTS belum dibuka ketika ini.

 

“KSL City Mall dilaporkan mengenakan kadar sewa setara dengan Mid Valley dan The Gardens di Kuala Lumpur, manakala Mid Valley Southkey mengenakan sewa sekitar RM14 sekaki persegi. 

 

“Paradigm JB pula menunjukkan kadar semakan semula sewa kukuh pada paras belasan rendah dengan tahap penghunian hampir penuh. 

 

“Selain itu, dua lagi pusat beli-belah baharu oleh Sunway — masing-masing di pembangunan TOD RTS dan Sunway Majestic dijangka mengukuhkan lagi landskap runcit di bandaraya itu,” kata HLIB dalam nota kajiannya hari ini.

 

Baru-baru ini, YTL membeli Hotel Thistle Johor Bahru pada harga RM150 juta untuk dilancarkan semula pada 2026 manakala Sunway pula merancang untuk membina hotel lima bintang di tapak TOD RTS. 

 

HLIB berkata, perkembangan ini menandakan bermulanya gelombang pengubahsuaian aset dan pembangunan hotel baharu di Johor.

 

Tambahnya, jenama F&B tempatan  turut dijangka menjadi penerima manfaat utama. 

 

t

 

“SDS Group dengan 28 daripada 38 cawangannya beroperasi di Johor dilihat sebagai proksi tulen kepada pertumbuhan penggunaan tempatan, kerana jenama ini bukan sahaja dekat dengan pasaran akar umbi tetapi juga berada di lokasi strategik seperti pusat beli-belah utama dan kawasan perumahan. 

 

“Oriental Kopi pula, yang mempunyai sembilan cawangan di Johor daripada 31 di seluruh negara, sudah pun membina asas kukuh di selatan tanah air. 

 

“Dengan kedudukannya sebagai rangkaian kopitiam moden, HLIB mengekalkan saranan Pegang dengan harga sasaran RM1.13, memandangkan jenama ini berupaya menarik minat warga Singapura yang mencari pengalaman F&B unik pada harga lebih berpatutan berbanding di negara asal mereka,” kata firma itu.

 

Sementara itu, Focus Point yang mengendalikan 33 cawangan di Johor daripada 196 cawangan di seluruh negara, terus menonjol dalam pasaran optikal. 

 

Firma penyelidikan itu mengesyorkan Beli terhadap saham Focus Point dengan harga sasaran RM0.83, berdasarkan kedudukan pasarnya yang dominan, kekuatan jenama yang sudah diiktiraf, serta kelebihan daya saing daripada perbezaan harga produk optikal yang ketara antara Malaysia dan Singapura. 

 

“Selepas hartanah kediaman menikmati lonjakan awal, RTS bakal mencetuskan gelombang penggunaan baharu yang menjadikan runcit, F&B dan hospitaliti sebagai enjin pertumbuhan utama Johor,” katanya.

 

HLIB berkata, tidak seperti hartanah kediaman yang membolehkan pelabur membuat pembelian awal menjelang pembukaan RTS, sektor runcit, F&B dan hospitaliti hanya akan menikmati kesan langsung apabila trafik rentas sempadan benar-benar meningkat sebaik operasi bermula.

 

“Ini kerana nilai tambahnya bergantung kepada peningkatan trafik pengguna harian dan aliran tunai rentas sempadan. 

 

“Justeru, tempoh selepas operasi RTS bakal menjadi detik kritikal bagi sektor-sektor ini untuk melonjak ke fasa pertumbuhan baharu,” katanya. - DagangNews.com