KUALA LUMPUR 10 April - Sektor utiliti negara dijangka mencatat pertumbuhan kukuh dalam beberapa tahun akan datang, disokong oleh permintaan elektrik yang stabil serta perkembangan pesat dalam tenaga boleh diperbaharui.
Menurut RHB Research, peluang besar sedang muncul dalam beberapa bidang utama termasuk pusat data (DC), projek solar berskala besar (LSS) dan inisiatif hijau berasaskan komuniti.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor utiliti dan menyenaraikan Tenaga Nasional Bhd (TNB), YTL Power International Bhd dan Solarvest Holdings Bhd sebagai pilihan utama pelaburan berdasarkan asas yang kukuh dan sokongan sektor yang positif.
"Kami percaya pertumbuhan jangka panjang pusat data penting dalam perjalanan peralihan tenaga Malaysia kerana ia memerlukan permintaan elektrik yang tinggi, sekali gus menyokong naik taraf sistem penghantaran dan agihan tenaga negara," jelas RHB Research dalam satu nota kajian.
Penggunaan elektrik meningkat sebanyak 6.2% secara tahunan pada tahun kewangan 2024, dipacu oleh lonjakan permintaan sektor komersial (+9.2%) dan pertumbuhan kukuh dalam segmen domestik (+8.5%).
TNB kini mempunyai kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) sebanyak 4.5 gigawatt (GW), bersamaan 21% daripada jumlah kapasiti keseluruhan.
"Kami jangkakan permintaan elektrik akan kekal kukuh dalam tempoh terdekat, didorong oleh penggunaan sebenar yang semakin meningkat daripada projek pusat data yang telah siap," tambah laporan berkenaan.
Dalam aspek pelaburan kemudahan, perbelanjaan modal (capex) bersyarat menjadi fokus utama.
TNB menjelaskan, capex itu diperlukan untuk menjamin keselamatan bekalan, memenuhi permintaan masa depan termasuk dari sektor pusat data dan industri, serta menyokong peralihan tenaga seperti naif taraf dan projek sambungan tenaga rentas kawasan.
Projek-projek tersebut telah mendapat kelulusan awal daripada Suruhanjaya Tenaga dan akan diaktifkan apabila permintaan tertentu timbul, seperti perjanjian bekalan elektrik baharu dengan pusat data dan peluasan sistem agihan pintar serta meter pintar.
Mekanisme pemulihan kos masih dibincangkan, namun kadar pulangan yang dikawal selia dijangka kekal pada 7.3%.
Setakat suku keempat 2024, kapasiti elektrik yang telah dimeterai untuk projek pusat data meningkat kepada 5.9GW, berbanding 4.7GW pada suku sebelumnya.
Bagaimanapun, faktor geopolitik mungkin memberi kesan terhadap prospek jangka panjang.
"Projek pusat data yang melibatkan pelabur dari China mungkin akan menerima lebih banyak penelitian dan ini boleh menjejaskan keyakinan pelabur," menurut RHB Research.
Tambahnya, sekatan eksport cip AI oleh Amerika Syarikat juga berpotensi menjejaskan pelaburan China dalam projek pusat data akan datang.
Dalam segmen tenaga boleh diperbaharui, syarikat seperti Solarvest dan Samaiden Group Bhd menunjukkan prestasi selari dengan jangkaan.
Solarvest baru-baru ini memperoleh kontrak kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) sebanyak 500 megawatt (MW) daripada TNB, dan satu lagi projek 29.99MW daripada SV Flux.
Samaiden pula mendapat kuota 99MW di bawah program LSS 5, manakala Solarvest menambah 60MW lagi menerusi kerjasama strategik.
Sektor itu terus mendapat dorongan dengan pengumuman LSS5+ dan LSS6 yang dijangka menyumbang lebih 6GW kapasiti baharu.
Pusingan tender seterusnya dijangka memperkenalkan sekurang-kurangnya 2GW peluang projek baharu.
Penurunan harga panel solar juga dijangka meningkatkan margin kontraktor.
Bagi sektor kediaman, mekanisme Community Renewable Aggregation Mechanism (CREAM) sedang dimuktamadkan, yang membolehkan pemilik rumah menyewakan bumbung kepada pihak ketiga bagi membangunkan sistem solar fotovoltaik (PV) secara berkelompok.
Sementara itu, pembangunan Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) turut bergerak maju, dengan kerajaan membuka bidaan untuk empat projek berkapasiti 400MW/1,600 megawatt-jam, yang dijangka mula beroperasi menjelang 2026. - DagangNews.com








