KUALA LUMPUR 15 April - Sentimen terhadap saham syarikat telekomunikasi (telco) tempatan dijangka kekal lemah berikutan ketiadaan pemangkin kenaikan harga saham yang jelas dan ketidaktentuan dasar 5G.
Menurut RHB Research, strategi pemilihan saham tertentu masih menjadi keutamaan, dengan fokus diberikan kepada syarikat berasaskan talian tetap yang dilihat mempunyai potensi pertumbuhan lebih jelas, asas perniagaan kukuh serta pengurusan modal yang baik.
RHB Research mengekalkan saranan 'neutral' untuk sektor tersebut, namun memilih Telekom Malaysia Bhd (TM), Axiata Group Bhd dan CelcomDigi Bhd sebagai saham pilihan utama.
Ketiga-tiga saham itu diberikan saranan 'beli' dengan harga sasaran masing-masing RM8.15, RM3.20 dan RM4.30 sesaham.
Antara risiko utama yang dikenal pasti adalah persaingan sengit, prestasi kewangan yang lemah dan cabaran dari sudut kawal selia.
RHB Research menjangka persaingan dalam perkhidmatan mudah alih dan jalur lebar gentian optik akan kekal tinggi pada separuh kedua 2025, apabila syarikat telco terus mempertahankan tawaran nilai masing-masing.
"Pelaksanaan rasionalisasi subsidi RON95 pada penghujung tahun ini juga mungkin memberi kesan kepada sentimen pengguna dan penggunaan perkhidmatan," katanya dalam satu nota kajian.
Mengenai 5G, RHB Research menjangka syarikat telco akan mula membayar kos yang lebih tinggi kepada Digital Nasional Bhd (DNB) bermula 2025, selaras dengan peningkatan penggunaan dan trafik data.
Kos penggunaan borong 5G dianggarkan antara RM250 juta hingga RM300 juta untuk tahun kewangan 2025, berdasarkan perjanjian akses sebelum ini antara syarikat telco dan DNB.
Bagi TM, sebahagian kos berkenaan dijangka dapat ditampung melalui pendapatan borong daripada penyambungan gentian optik untuk perkhidmatan 5G mudah alih.
"Maxis Bhd pula dijangka mendapat sedikit perlindungan melalui perjanjian rangkaian teras bersama (MOCN) yang dimeterai dengan TM," ujar RHB Research.
Tambahnya, pelaksanaan rangkaian 5G kedua juga berpotensi memberi peluang kepada syarikat telco untuk mendapat struktur harga borong yang lebih kompetitif, sekali gus boleh mengurangkan dominasi DNB sebagai penyedia tunggal akses 5G.
"Namun, semua ini bergantung kepada hasil model perniagaan baharu DNB yang masih dalam semakan," katanya.
Pada suku keempat 2024, Maxis, TM dan TIME dotCom Bhd (TDC) mengumumkan pembayaran dividen yang lebih tinggi.
RHB Research menjangka TM dan TDC mempunyai potensi pengurusan modal yang paling kukuh, disokong oleh kedudukan kewangan yang sihat dan aliran tunai bebas yang stabil, dengan nisbah hutang bersih kepada pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA) sebanyak 0.6 kali bagi TM, manakala TDC berada dalam kedudukan tunai bersih.
Firma itu juga menambah, perbelanjaan modal yang dijangka meningkat selepas pengumuman operator 5G kedua serta pelaksanaan beberapa inisiatif dasar akan memberi manfaat kepada syarikat yang fokus kepada kemudahan telco pada masa depan. - DagangNews.com







