Sektor telekomunikasi dijangka kekal berdaya tahan disokong asas kukuh, kata HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor telekomunikasi dijangka kekal berdaya tahan disokong asas kukuh, kata HLIB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 11 Jun - Sektor telekomunikasi Malaysia diramal kekal berdaya tahan walaupun harga sahamnya berdepan kelemahan baru-baru ini, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Katanya, syarikat talian tetap berada pada kedudukan yang baik untuk meraih manfaat daripada pengembangan berterusan jalur lebar dan pusat data.

 

Firma penyelidikan itu berkata, walaupun sektor itu menunjukkan beberapa kelemahan semasa suku pertama tahun kewangan 2025 (1QFY25) namun percaya penurunan harga saham baru-baru ini lebih disebabkan oleh kitaran pasaran dan bukannya kebimbangan asas.

 

"Syarikat telekomunikasi menerima manfaat daripada daya tahan mereka pada April ketika ketidaktentuan memuncak berkaitan perkembangan tarif Amerika Syarikat (AS), yang mendorong prestasi relatif yang lebih baik sepanjang bulan tersebut.

 

"Sektor itu memuncak pada pertengahan Mei baru-baru ini juga bertepatan dengan masa gencatan perang perdagangan AS-China, yang dilihat membuka laluan kepada kitaran risiko yang lebih luas," katanya dalam satu nota kajian.

 

HLIB itu mengekalkan pendirian “neutral” terhadap sektor tersebut tetapi menekankan dinamik risiko-ganjaran masih memihak kepada pengendali talian tetap disebabkan peranan mereka dalam infrastruktur jalur lebar dan 5G, disertai dengan pelaksanaan pusat data yang bakal berlaku. 

 

Pilihan utama firma itu bagi sektor ini kekal Telekom Malaysia Bhd.

 

Bagi segmen mudah alih, firma penyelidikan itu menyatakan, kadar penembusan mudah alih Malaysia yang telah tepu pada kadar 145% bermakna pertumbuhan hasil perkhidmatan kini semakin bergantung kepada peralihan daripada pelan prabayar kepada pelan pascabayar.

 

“Maxis Bhd dan CelcomDigi Bhd terus melaksanakan strategi ini dengan baik, menyumbang penambahan bersih pascabayar yang sihat setiap suku tahun,” katanya.

 

Maxis dilihat mempunyai kelebihan sepanjang tahun lepas, walaupun CelcomDigi masih mengekalkan pangkalan pengguna pascabayar yang lebih besar. - DagangNews.com