KUALA LUMPUR 9 Dis – Sektor telekomunikasi negara terus mempamerkan prestasi bercampur bagi suku ketiga 2025 (3Q25) dengan pemain talian tetap mengatasi syarikat mudah alih dari segi pertumbuhan pendapatan dan keuntungan, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan Neutral terhadap sektor berkenaan dengan memilih Telekom Malaysia Bhd (TM) dan Axiata Group Bhd sebagai pilihan utama.
RHB Research berkata, prestasi kukuh pemain talian tetap seperti TM dan Time dotCom (TDC) dijangka berterusan sehingga 4Q25 dan FY26, dipacu segmen borong, pusat data dan perkhidmatan perusahaan.
“Sebaliknya, pengendali rangkaian mudah alih (MNO) dijangka terus berdepan tekanan apabila kerugian Digital Nasional Bhd (DNB) mula diambil kira dalam keputusan kewangan mereka pada 2026.
“Prestasi 3Q25 adalah tidak sekata, dengan Maxis Bhd dan TDC melepasi jangkaan pasaran hasil penjimatan kos yang kukuh.
“Sebaliknya, OCK Group Bhd ketinggalan berbanding anggaran asal disebabkan pendapatan kontrak yang perlahan dan pengukuhan ringgit, manakala keputusan Axiata, TM dan CelcomDigi Bhd (CDB) berada dalam jangkaan selepas pelarasan item sekali sahaja,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Dalam pada itu, firma tersebut berkata, TDC turut mengejutkan pasaran apabila mengumumkan dividen interim khas 21.64 sen, sekali gus mengukuhkan prospek pengagihan modal syarikat itu.
“Selepas keputusan suku tersebut, satu-satunya semakan naik yang dibuat ialah terhadap unjuran keuntungan Maxis bagi FY25–27F, dengan peningkatan antara 10% hingga 15%.
“Dari perspektif keseluruhan sektor, keuntungan teras (core earnings) meningkat 7.1% suku ke suku, didorong pertumbuhan kukuh segmen talian tetap sebanyak 21%, yang mengimbangi kejatuhan 2.2% dalam keuntungan mudah alih.
“Ini berlaku walaupun hasil industri hanya meningkat sekitar 1% tahun ke tahun pada 3Q25,” katanya.
EBITDA industri bagi tahun sehingga kini (YTD) kekal stabil pada -0.5%, dengan semua pemain utama giat melaksanakan inisiatif penjimatan kos.
Dalam kalangan dua pengendali mudah alih terbesar, Maxis terus meningkatkan bahagian hasilnya kepada 43.1% dan bahagian EBITDA kepada 45.1%, manakala CDB menyaksikan sedikit penyusutan kepada masing-masing 56.9% dan 54.9%.
Dari sudut panduan kewangan, Maxis menaikkan unjuran EBIT kepada “pertengahan angka tunggal” daripada “mendatar hingga rendah”, mencerminkan ruang tambahan untuk penjimatan kos.
TM pula mengambil keputusan memansuhkan panduan EBIT susulan jangkaan kos tenaga kerja lebih tinggi pada 4Q25 ekoran pelaksanaan program pemisahan sukarela.
RHB Research berkata, prospek pengagihan modal lebih menarik bagi TM dan TDC.
“TM dijangka menyemak semula dasar pembayaran dividennya yang berada pada 40% hingga 60% PATMI berikutan kedudukan hutang bersih/EBITDA yang rendah pada paras 0.5 kali serta keperluan capex yang lebih terkawal.
“Namun, kami tidak menolak kemungkinan TM mengumumkan dividen khas,” katanya.
Bagi TDC pula, firma penyelidikan itu berkata, syarikat berkenaan akan terus mengoptimumkan kedudukan kunci kira-kira dalam tempoh 12 hingga 24 bulan, mengambil kira keadaan tunai bersih yang kukuh berjumlah RM660 juta pada 3Q25.
Sementara itu, proses penstrukturan pemilikan DNB semakin hampir dimuktamadkan.
Tiga MNO iaitu Maxis, CDB dan YTL Communications dijangka perlu mengakaunkan kerugian DNB secara ekuiti hasil pegangan 33.3% setiap satu, apabila Kementerian Kewangan menyelesaikan pelaksanaan opsyen jual menjelang akhir Januari 2026.
Firma itu berkata, dengan andaian kerugian DNB bagi FY24 berkurang 50%, pendapatan teras FY26F Maxis dan CDB masing-masing boleh terjejas 9% hingga 10%.
“Kesan ini dijangka menjadi antara faktor utama yang membataskan prestasi MNO dalam tempoh terdekat. Dari sudut prestasi kewangan syarikat, RHB Research menyatakan bahawa Axiata melaporkan 9M25 core PATMI sebanyak RM510 juta, mewakili 68% daripada unjuran tahun penuh, manakala CDB mencatatkan RM1.21 bilion atau 74% daripada anggaran.
“Maxis pula mencapai 82% daripada unjuran setahun penuh selepas merekodkan RM1.18 bilion bagi 9M25. TDC mencatatkan keuntungan teras RM371 juta bagi 9M25, iaitu 77% daripada anggaran, manakala TM merekodkan PATMI suku ketiga berjumlah RM686 juta, dipengaruhi keuntungan portfolio sekali sahaja dan pelarasan cukai tertunda," katanya.
OCK pula hanya mencapai 14% daripada unjuran tahun penuh disebabkan sumbangan lebih perlahan dalam segmen kontraktor.
Dari segi penilaian, RHB mengekalkan saranan Beli ke atas TM dengan harga sasaran RM8.30 dan Axiata pada RM2.95. OCK turut dikekalkan dengan saranan Beli pada harga sasaran RM0.72, menawarkan potensi kenaikan ketara sebanyak 80%. Maxis, CDB dan TDC pula dikekalkan dengan saranan Neutral.
RHB turut mengingatkan bahawa risiko utama kepada prospek sektor termasuk persaingan lebih agresif, pendapatan dan margin yang lebih lemah daripada jangkaan, turun naik mata wang asing serta perubahan dasar dan peraturan yang tidak memihak.
Namun begitu, prospek stabil dalam segmen talian tetap serta langkah penjimatan kos dijangka terus menyokong prestasi sektor dalam jangka masa sederhana. - DagangNews.com








