KUALA LUMPUR 12 Sept - Sektor semikonduktor negara berisiko terjejas sekiranya dikenakan tarif tinggi oleh Amerika Syarikat (AS) memandangkan industri negara sangat bergantung dan berintegrasi dengan rantaian bekalan global, kata TA Securities.
Katanya, Malaysia kini berada dalam kelompok enam pengeksport semikonduktor terbesar dunia, menyumbang kira-kira 7% daripada eksport global dan sekitar 13% daripada pasaran pemasangan, ujian dan pembungkusan global.
Industri itu merupakan antara tonggak utama ekonomi Malaysia, khususnya dalam segmen elektrik dan elektronik (E&E).
"Tarif yang tinggi boleh menjejaskan prestasi eksport Malaysia kerana kos pengeluaran yang meningkat sebahagiannya mungkin dipindahkan kepada pelanggan, sekali gus melemahkan permintaan," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump memberi bayangan akan mengenakan tarif yang "agak besar" ke atas import semikonduktor tidak lama lagi tetapi memberi isyarat pengecualian mungkin diberikan kepada syarikat yang memindahkan pengeluaran ke negara itu atau merancang untuk melabur dalam kemudahan pembuatan domestik.
Beliau pada mulanya mencadangkan tarif sebanyak 100% sebelum kemudian memberi gambaran kenaikan pada kadar antara 200% hingga 300%.
Secara umumnya, TA Securities percaya, terdapat kemungkinan tinggi kebanyakan syarikat multinasional berpangkalan di AS mempunyai kekuatan kewangan dan keupayaan untuk melabur di AS bagi mengurangkan kesan tarif semikonduktor.
Selain itu,mereka menjangkakan lebih banyak pengecualian bersyarat akan diperkenalkan dari semasa ke semasa memandangkan kerumitan serta saling kebergantungan dalam rantaian bekalan semikonduktor global.
"Secara keseluruhan, kami percaya adalah amat sukar untuk AS membawa pulang sepenuhnya rantaian nilai semikonduktor dalam jangka masa terdekat kerana membina ekosistem sepenuhnya berkemungkinan mengambil masa beberapa dekad," katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun syarikat semikonduktor di bawah liputannya seperti Inari Amertron Berhad, Unisem (M) Berhad dan Malaysian Pacific Industries Berhad memperoleh sebahagian besar hasil daripada pelanggan di AS, pendedahan eksport langsung mereka ke negara itu masih terhad.
Katanya, kebanyakan produk mereka dibekalkan kepada pelanggan perantara yang kemudiannya mengintegrasikan komponen tersebut ke dalam modul atau produk siap sebelum dieksport ke lokasi lain.- DagangNews.com








