KUALA LUMPUR 17 Dis – Sektor Amanah pelaburan hartanah (REIT) Malaysia menunjukkan prestasi kukuh dengan Bursa Malaysia REIT Index (KLREI) mencatat kenaikan 8% setakat Disember 2025 melepasi prestasi KLCI yang hanya naik 0.3%, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan itu turut mengekalkan saranan ‘overweight’ berikutan asas sektor yang kekal kukuh serta persekitaran kadar faedah yang lebih menyokong.
RHB Research berkata, sektor REIT terus menjadi pilihan defensif kepada mereka yang mencari pendapatan stabil berasaskan hartanah domestik.
“Faktor sokongan termasuk kadar faedah rendah yang membantu mengurangkan kos pembiayaan serta meningkatkan kemampuan REIT membiayai semula hutang dan memperluas pengambilalihan asset baharu.
“Jurang hasil dividen antara KLREI dan bon kerajaan 10-tahun berada sekitar 170 mata asas, selari dengan purata jangka panjang, menunjukkan REIT masih menarik bagi pelabur,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Bagi keputusan kewangan suku ketiga 2025, daripada lapan REIT yang dikaji, lima mencatat prestasi mengikut jangkaan manakala tiga melepasi ramalan.
Sunway REIT mencatat kenaikan keuntungan bersih 31% berbanding tahun sebelumnya, disokong prestasi kukuh sektor runcit dan industri serta keuntungan daripada penjualan sebahagian aset Sunway University & College.

RHB Research turut menekankan risiko berkaitan ketidakpastian berhubung konsesi cukai pemotongan (withholding tax) 10% yang dijangka tamat pada 2025.
Ketiadaan sebarang rujukan dalam Rang Undang-Undang Kewangan 2025 meningkatkan risiko konsesi tersebut tidak dilanjutkan, yang boleh menjejaskan hasil bersih kepada pelabur individu dan asing.
“Sekiranya konsesi tidak dilanjutkan, pelabur asing dan individu mungkin dikenakan cukai lebih tinggi, tetapi kesan keseluruhan kepada pasaran dijangka sederhana memandangkan institusi tempatan kekal sebagai pemegang utama,” kata firma tersebut.
Sektor REIT juga dijangka terus mendapat sokongan daripada dasar kerajaan seperti Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030.
“Ini dijangka memberi rangsangan tambahan kepada REIT runcit dan REIT Perindustrian.
“Selain itu, lebih banyak penyenaraian REIT dijangka pada 2026 oleh pemaju besar dengan anggaran nilai aset RM10–11 bilion,” katanya.
RHB Research mengekalkan Pavilion REIT sebagai pilihan utama sektor, dengan harga sasaran RM2 disokong oleh pendedahan kadar terapung yang lebih besar serta kedudukan kukuh dalam segmen runcit untuk memanfaatkan peningkatan ketibaan pelancong sempena Tahun Melawat Malaysia 2026. - DagangNews.com








