Sektor RE dijangka terus rancak dengan tender LSS6 diramal bermula 1QFY26 - Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor RE dijangka terus rancak dengan tender LSS6 diramal bermula 1QFY26 - Kenanga Research

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Jan – Sektor tenaga boleh diperbaharui (RE) Malaysia dijangka memasuki tempoh yang lebih rancak pada awal 2026 apabila pelbagai dasar kerajaan serta perancangan dan pelaksanaan projek berkaitan mula bergerak seiring, sekali gus memberi dorongan baharu kepada pertumbuhan industri itu, menurut Kenanga Research.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26) menjadi tempoh paling sibuk bagi sektor berkenaan, didorong oleh pembukaan tender solar baharu, peralihan projek sedia ada ke fasa pembinaan serta momentum baharu dalam segmen solar runcit.

 

“Antara pemacu utama ialah jangkaan bermulanya pelancaran bidaan bagi pusingan seterusnya projek Solar Berskala Besar (LSS) yang berkemungkinan melibatkan LSS6. 

 

“Langkah ini akan mengukuhkan keterlihatan pendapatan apabila sektor pembinaan LSS kekal kukuh, dengan projek LSS5 dan LSS5+ turut memasuki fasa anugerah pembinaan,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Projek LSS5 dan LSS5+ disasarkan siap menjelang akhir 2027 dan Kenanga Research menjangkakan tender LSS6 akan mula dibuka pada 1QFY26. 

 

Secara keseluruhan, LSS5, LSS5+ serta Skim Bekalan Tenaga Boleh Baharu Korporat (CRESS) dianggarkan membuka peluang kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai sekurang-kurangnya RM15 bilion, dengan tambahan sekitar RM6 bilion diunjurkan bagi LSS6 melibatkan bidaan dua gigawatt (GW).

 

Kenanga Research turut menjangkakan LSS6 berkemungkinan merangkumi keperluan bateri, namun kadar pulangan dalaman projek di peringkat pemaju masih diunjurkan kekal sekitar 8 hingga 10 peratus.

 

Selain projek LSS, pembangunan pusat data kini menjadi pemacu baharu yang meningkatkan permintaan terhadap bekalan tenaga. 

 

Tenaga Nasional Bhd sebelum ini memaklumkan terdapat 49 projek pusat data dengan jumlah kapasiti sebanyak 7.1GW yang secara langsung menyumbang kepada peningkatan jualan tenaga ke paras tertinggi setakat ini.

 

Menurut Kenanga Research, CRESS memberikan kelebihan kepada pelanggan voltan ultra tinggi melalui perjanjian pembelian tenaga tetap selama 21 tahun, membolehkan pengguna tenaga berskala besar mengekalkan kos tenaga yang lebih stabil sambil menunaikan komitmen alam sekitar, sosial dan tadbir urus serta mencapai sasaran RE100.

 

t

 

Sehingga Jun 2025, nilai komitmen di bawah CRESS telah mencecah 1.3GW. 

 

Beberapa pembangunan berskala besar turut diumumkan, termasuk ladang solar hibrid 1GW oleh UEM Lestra, portfolio solar 1.2GW oleh Gamuda-SD Guthrie, serta penyelesaian solar bersama bateri 1GW oleh Gamuda-Gentari bagi memenuhi keperluan pusat data.

 

Kenanga Research turut memaklumkan bahawa pengambil tenaga bagi Google di bawah Program Tenaga Hijau Korporat dilaksanakan melalui kerjasama dengan Solarvest Holdings Bhd, yang dilihat berpotensi meningkatkan peluang syarikat itu untuk memperoleh kerja berkaitan CRESS pada masa hadapan.

 

Dalam segmen runcit, momentum dijangka kembali pulih susulan pengenalan Program Tindakan Peralihan Solar Dipercepatkan (Solar Accelerated Transition Action Programme, Solar ATAP) pada akhir 2025, yang menggantikan skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) 3.0 yang telah tamat.

 

Permohonan di bawah Solar ATAP dijadual bermula 1 Januari 2026.

 

Walaupun skim baharu itu tidak menawarkan penolakan penuh tenaga solar terhadap penggunaan grid kerana caj rangkaian dan kapasiti tidak dimasukkan, Kenanga Research berpendapat jurang pulangan antara NEM 3.0 dan Solar ATAP boleh dikurangkan melalui penggunaan sistem bateri.

 

Penyimpanan tenaga turut menunjukkan perkembangan positif apabila Semenanjung Malaysia merekodkan projek bateri grid pertama yang dianugerahkan, dengan Gamuda antara pemenang utama di bawah tender MyBeST.

 

Projek yang dijangka beroperasi menjelang 2027 itu dilihat mampu meningkatkan pendapatan berulang serta menjadi rujukan bagi peluang berkaitan grid pada masa hadapan.

 

Secara keseluruhan, Kenanga Research menegaskan sektor RE masih berada dalam fasa pertumbuhan pantas, dengan syarikat di bawah liputannya dijangka mencatat pertumbuhan keuntungan terkumpul sekitar 26 peratus pada tahun kewangan 2026. 

 

Firma itu menamakan Solarvest dan KJTS Group Bhd sebagai pilihan utama untuk memanfaatkan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara. - DagangNews.com