KUALA LUMPUR 20 Mei - Sektor pusat data (DC) Malaysia terus menunjukkan prospek cerah, terutamanya selepas Amerika Syarikat (AS) memansuhkan sekatan eksport cip kecerdasan buatan (AI), sekali gus dijangka dapat meningkatkan keyakinan pelabur untuk melabur dalam industri tersebut di negara ini.
Pakar industri menjangkakan, langkah tersebut akan merangsang pertumbuhan pusat data tempatan dan menarik lebih banyak pelaburan asing ke negara ini.
Menurut RHB Research, sektor DC Malaysia masih menunjukkan potensi besar untuk berkembang.
"Aliran pelaburan positif yang konsisten dalam beberapa bulan kebelakangan ini membuktikan industri ini tetap kukuh, walaupun ada kebimbangan awal tentang sekatan AI dari AS," kata RHB Research dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, persekitaran tempatan untuk pembangunan DC masih positif, terutamanya setelah AS menarik semula sekatan terhadap eksport unit pemproses grafik (GPU) ke negara seperti Malaysia.
Jabatan Perdagangan AS kini memilih pendekatan rundingan dua hala berbanding peraturan ketat penyebaran AI yang dicadangkan sebelum ini.
Langkah berkenaan membatalkan sekatan eksport cip AI, membolehkan negara seperti Malaysia mendapat akses lebih baik sambil memastikan teknologi tidak disalahgunakan ke China.
RHB Research memaklumkan, projek DC di Malaysia tidak lagi terhalang oleh sekatan cip GPU, yang sebelum ini berisiko menjejaskan pelaburan.
"Perubahan dasar ini dijangka mengurangkan kebimbangan pelabur dalam pelbagai sektor berkaitan DC, termasuk pembinaan, hartanah, tenaga, telekomunikasi dan teknologi.
"Sentimen pelabur dijangka pulih, terutama di lokasi utama seperti Johor dan Cyberjaya, dengan pendekatan baharu AS dilihat lebih praktikal," ujarnya.
RHB Research berkata, negara seperti Malaysia yang sebelum ini dikategorikan sebagai Tahap 2 akan mendapat manfaat besar daripada perubahan dasar berkenaan.
Jelasnya, pembangunan DC dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak peluang pekerjaan dan pertumbuhan pendapatan dalam sektor pembinaan.
"Kapasiti DC dirancang di Johor sebanyak 822 megawat boleh menghasilkan peluang pekerjaan bernilai sehingga RM16 bilion," jelasnya.
RHB Research dalam pada itu memberi amaran, jika Malaysia terlibat dalam pengalihan cip ke China, AS mungkin mengenakan sekatan lebih ketat semula.
Selain itu katanya, perubahan dasar tersebut dijangka mengurangkan risiko kelewatan atau pembatalan projek DC utama yang melibatkan pemilik tanah dan pemaju.
"Sektor utiliti seperti tenaga dan air juga dijangka mendapat manfaat daripada pertumbuhan DC yang memerlukan lebih banyak bekalan elektrik," tambah RHB Research.
Mengekalkan saranan 'overweight' terhadap saham dalam sektor utiliti, firma penyelidikan berkenaan menamakan Tenaga Nasional Berhad, Gamuda Bhd, YTL Power International Bhd, Sime Darby Property Bhd dan Sunway Construction Group Bhd sebagai pilihan utama.
RHB Research juga mengekalkan strategi pelaburan berjaga-jaga dengan saranan 'beli' ketika lemah dan 'jual' ketika kukuh berdasarkan keadaan pasaran semasa. - DagangNews.com








