Sektor perbankan berdepan tekanan margin jika OPR dipotong - HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor perbankan berdepan tekanan margin jika OPR dipotong - HLIB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 21 April — Sektor perbankan berkemungkinan menghadapi tekanan margin sekiranya Bank Negara Malaysia (BNM) mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) sebagai tindak balas kepada isu ketegangan tarif global, kata Hong Leong Investment Bank Bhd (HLIB) Research.


Bagaimanapun, firma penyelidikan itu percaya, kesan ke atas bank-bank akan lebih terkawal kali ini, berbanding pengumuman pengurangan kadar berkenaan oleh bank pusat tersebut sebelum ini yang dianggap sebagai tidak dijangka sektor itu sama sekali.


Bank-bank katanya, mungkin mengambil sikap yang lebih proaktif dalam mengunjurkan potensi pelonggaran dengan memendekkan tempoh simpanan tetap (FD) bagi membolehkan penetapan harga semula yang pantas pada kos lebih rendah serta menyederhanakan pertumbuhan FD.


"Langkah tersebut kemungkinan dilaksanakan bagi mengelakkan berlaku pendedahan secara berlebihan menjelang pelarasan OPR oleh BNM," kata HLIB dalam satu nota kajiannya.


Firma penyelidikan itu berkata, kadar FD tinggi dijangka berkurangan dengan lebih ketara dalam tempoh enam bulan hingga sembilan bulan selepas pengurangan OPR, apabila bank-bank merebut peluang mengoptimumkan dan mengembangkan margin faedah bersih (NIM) mereka.


Selain itu, ia menjangkakan, Amerika Syarikat (AS) berkemungkinan mula memasuki era kemelesetan ekonomi berikutan kebimbangan yang semakin meningkat dalam kalangan pelabur antarabangsa susulan tarif timbal balik dikenakan terhadap puluhan negara.


Berikutan situasi tersebut, HLIB Research mengurangkan unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia kepada sebanyak empat peratus untuk tahun ini dan menjangkakan BNM turut mengurangkan kadar OPR tersebut sebanyak 25 mata asas (bps).


"Walaupun tanpa senario itu, kami menganggarkan, setiap pemotongan 25 mata asas akan menyaksikan NIM sektor perbankan menguncup sebanyak lima hingga enam mata asas dan unjuran pendapatan mungkin berkurangan sebanyak 3.0 hingga 4.0 peratus," katanya.


Firma penyelidikan itu berkata, prospek Bank Islam Malaysia Berhad dan Alliance Bank Berhad di pasaran dijangka sebagai paling rugi, manakala Public Bank Berhad dan Malayan Banking Berhad pula yang kurang terjejas.


Melihat potensi melangkaui NIM, HLIB Research kekal membina pada tinjauan yang lebih luas untuk pertumbuhan pinjaman dan pendapatan bukan faedah (NOII).


Ia menambah, walaupun pada kemuncak pandemik Covid-19, ketika Malaysia berada di bawah penutupan seluruh negara, perkhidmatan pinjaman perbankan masih mencatatkan pertumbuhan 2.6 peratus tahun ke tahun, yang menunjukkan daya tahan permintaan kredit.


"Biar apa pun, sensitiviti pendapatan terhadap pertumbuhan pinjaman tidak penting; untuk setiap penurunan dalam pengembangan kredit, kami menganggarkan keadaan itu boleh mengurangkan keuntungan bank sebanyak 0.5 peratus sahaja," kata firma berkenaan.


HLIB Research turut mengekalkan saranan "overweight" untuk sektor itu dan dari perspektif atas ke bawah, ia masih mendapati bank menjadi salah satu sektor yang lebih menarik untuk berlindung daripada perang perdagangan Presiden Donald Trump.


Selain itu katanya, hasil dividen kukuh sektor itu sebanyak lima peratus menawarkan cadangan menarik, serta bertindak sebagai kusyen semula jadi terhadap kemerosotan modal dan menyediakan tingkat harga yang berkesan di tengah-tengah turun naik pasaran. - DagangNews.com