Sektor penjanaan elektrik tempatan terus kukuh dipacu permintaan, tenaga boleh diperbaharui - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor penjanaan elektrik tempatan terus kukuh dipacu permintaan, tenaga boleh diperbaharui - RHB Research

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 11 April - Sektor penjanaan tenaga elektrik Malaysia dijangka terus berkembang pesat dalam beberapa tahun akan datang, disokong oleh permintaan kukuh dan perkembangan tenaga boleh diperbaharui, menurut RHB Research.

 

Peluang besar sedang muncul menerusi projek pusat data, solar berskala besar dan inisiatif hijau komuniti.

 

RHB Research mengekalkan saranan 'overweight' terhadap sektor tenaga, menyenaraikan Tenaga Nasional Bhd (TNB), YTL Power dan Solarvest Holdings sebagai syarikat pilihan utama.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan jangka panjang pusat data penting dalam peralihan tenaga negara kerana ia memerlukan peningkatan kemudahan penghantaran dan pengagihan tenaga.

 

"Penggunaan elektrik negara meningkat 6.2% tahun lalu, dipacu lonjakan 9.2% dalam permintaan komersial dan 8.5% dalam segmen kediaman.

 

"TNB kini mempunyai kapasiti tenaga boleh diperbaharui sebanyak 4.5 gigawatt (GW), iaitu 21% daripada keseluruhan kapasiti," kata RHB Research dalam satu nota kajian.

 

Tambahnya, permintaan elektrik dijangka terus kukuh, terutamanya hasil penggunaan sebenar daripada projek pusat data yang telah disiapkan.

 

TNB juga sedang menumpukan kepada perbelanjaan modal bersyarat (capex) untuk memastikan bekalan tenaga stabil, menyokong pertumbuhan ekonomi dan mempercepat peralihan tenaga.

 

Projek-projek itu yang telah mendapat kelulusan awal Suruhanjaya Tenaga, akan dilaksanakan apabila terdapat permintaan tertentu, termasuk perjanjian bekalan dengan pusat data dan peluasan sistem pintar.

 

Pada suku keempat 2024, jumlah kapasiti perjanjian bekalan elektrik pusat data meningkat kepada 5.9GW berbanding 4.7GW sebelumnya. 

 

Sebanyak 18 projek dikenal pasti dengan 1.9GW kapasiti dengan 1.3GW daripadanya siap tahun lalu.

 

Bagaimanapun, faktor geopolitik dijangka memberi tekanan terhadap prospek jangka panjang.

 

"Kami menjangka akan ada pengawasan lebih ketat terhadap pusat data yang melibatkan pelaburan dari China, yang mungkin menjejaskan keyakinan pelabur,” jelas RHB Research.

 

Dalam tenaga boleh diperbaharui, Solarvest dan Samaiden Group menunjukkan prestasi kukuh, disokong pelaksanaan kontrak di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).

 

Solarvest memperoleh projek EPCC 500MW daripada TNB dan 29.99MW daripada SV Flux, manakala Samaiden mendapat kuota 99MW di bawah LSS5.

 

Pelancaran LSS5+, LSS6 dan penurunan harga panel solar dijangka menawarkan lebih 6GW peluang baharu kepada pemain industri tempatan.

 

Tambah firma penyelidikan berkenaan, di peringkat kediaman, inisiatif komuniti CREAM membolehkan pemilik rumah menyewakan bumbung untuk pemasangan solar PV. 

 

Sistem Simpanan Tenaga Bateri (BESS) pula dijangka mula beroperasi tahun depan dengan kapasiti 400MW/1,600MWh melalui tender terbuka kerajaan. - DagangNews.com