KUALA LUMPUR 25 Sept - Sektor pengguna diramal mencatatkan prestasi lebih suram pada separuh kedua tahun ini (2H25) disebabkan ketiadaan perayaan utama, kelemahan sentimen pengguna dan tekanan inflasi berterusan, kata CIMB Securities.
Katanya, dalam keadaan itu, perbelanjaan pengguna dijangka tertumpu kepada barangan keperluan asas, sekali gus memberi manfaat kepada syarikat yang mempunyai pendedahan kukuh kepada format runcit berasaskan barangan asas seperti 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad, Aeon Co (M) Berhad dan MR DIY Group (M) Berhad selain pengeluar barangan asas seperti Nestle (M) Berhad, Fraser & Neave Holdings Berhad, QL Resources Berhad dan Farm Fresh Berhad.
Firma penyelidikan itu berkata, peruncit yang lebih tertumpu kepada barangan bukan keperluan berkemungkinan berdepan cabaran lebih besar, bukan sahaja daripada kelembapan sentimen pengguna tetapi juga tekanan margin akibat perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang meliputi lebih banyak barangan dan perkhidmatan.
“Secara keseluruhan, kami menjangkakan corak perbelanjaan pengguna kekal berorientasikan nilai, tertumpu kepada keperluan harian berbanding barangan bukan keperluan.
"Ini mengukuhkan pandangan kami, syarikat berasaskan barangan asas dan peruncit pasaran besar-besaran akan terus mengungguli prestasi dalam persekitaran semasa,” jelas firma penyelidikan itu.
Menurut Laporan Industri Peruncitan Malaysia pada September yang disediakan Retail Group Malaysia (RGM), jualan runcit negara menyusut 3% tahun ke tahun (y-o-y) pada suku kedua 2025 (2Q25), lebih lemah berbanding unjuran awal pertumbuhan 1%.
Bagi suku ketiga 2025 (3Q25), RGM menjangkakan jualan runcit meningkat sebanyak 2.6% y-o-y, dengan prestasi bercampur-campur merentas subsektor, dan pertumbuhan dijangka tidak sekata di sembilan subsektor runcit.
Empat subsektor runcit dijangka mencatatkan pertumbuhan positif, manakala lima subsektor lain dijangka menguncup pada suku ketiga 2025 (3Q25), menurut Retail Group Malaysia (RGM).
Pertumbuhan itu dijangka dipacu subsektor pasar mini, kedai serbaneka dan koperasi, yang diunjurkan meningkat 9.3% y-o-y, disokong oleh trend pengguna beralih kepada barangan lebih murah serta bantuan tunai kerajaan.
Segmen fesyen dan aksesori fesyen pula dijangka berkembang 5.7% y-o-y, sebahagian besarnya disebabkan oleh kesan asas rendah berikutan perbelanjaan yang lebih lemah pada 3Q24, apabila sambutan Hari Raya Aidilfitri berlangsung lebih awal tahun ini.
Bagi suku keempat 2025 (4Q25), RGM kini menjangkakan sektor runcit Malaysia akan mencatatkan pertumbuhan 3.5% y-o-y.
Namun begitu, peruncit berdepan pelbagai tekanan kos termasuk semakan tarif elektrik berkuat kuasa 1 Julai, caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mandatori bagi semua pekerja asing mulai 1 Oktober, kenaikan gaji minimum berkuat kuasa 1 Februari dan diperluas kepada firma kecil mulai 1 Ogos, serta perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) bermula 1 Julai yang kini merangkumi lebih banyak barangan dan perkhidmatan, termasuk sewaan.
CIMB Securities, pandangan itu mencerminkan sentimen pengguna yang lebih lemah, prospek pertumbuhan yang sederhana serta tekanan kos yang tinggi, khususnya bagi peruncit barangan bukan keperluan.
“Namun begitu, penilaian masih disokong oleh permintaan tidak anjal terhadap barangan asas, inisiatif kerajaan seperti bantuan tunai, kesan kenaikan gaji minimum dan pengenalan Akaun 3 KWSP.
“Kami terus menyarankan kedudukan defensif terhadap pemain pasaran besar yang mendapat manfaat daripada trend downtrading dan permintaan berdaya tahan,” katanya.
CIMB Securities mengekalkan saranan "neutral" dengan 99 Speedmart, Farm Fresh dan Padini Holdings Bhd menjadi pilihan utama sektor itu. - DagangNews.com








