Sektor pembuatan Malaysia kekal kukuh, nilai jualan capai RM162.5 bilion Julai 2025 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembuatan Malaysia kekal kukuh, nilai jualan capai RM162.5 bilion Julai 2025 - DOSM

KUALA LUMPUR 11 Sept – Sektor pembuatan Malaysia terus menunjukkan prestasi kukuh apabila nilai jualannya meningkat 3.5% tahun ke tahun (YoY) kepada RM162.5 bilion pada Julai 2025, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

 

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pertumbuhan ini didorong terutamanya oleh sub-sektor makanan, minuman dan tembakau yang mencatat peningkatan 8.9% berbanding bulan yang sama tahun lalu. 

 

Beliau berkata, sub-sektor produk elektrik & elektronik (E&E) naik 6.9% manakala produk logam asas serta bukan logam meningkat 3.8%.

 

“Industri berorientasikan eksport yang menyumbang 71.7% daripada jumlah jualan, merekodkan pertumbuhan tahunan 2.7% dengan pengeluaran minyak dan lemak sayuran serta haiwan meningkat 6.3%. 

 

“Produk komputer, elektronik dan optik pula naik 6.9% manakala pengeluaran mesin dan peralatan meningkat 12.4%,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Sementara itu, industri berorientasikan domestik mengekalkan pertumbuhan stabil pada 5.6% didorong oleh permintaan yang kukuh dalam pemprosesan makanan (+12.7%), pengeluaran logam asas (+7.2%) dan produk logam terhasil (+4.0%).

 

Jumlah tenaga kerja dalam sektor pembuatan pula meningkat 1.1% kepada 2.4 juta orang pada Julai 2025, didorong oleh pertumbuhan dalam sub-sektor makanan, minuman & tembakau (+2%), produk logam & bukan logam (+1.4%) dan E&E (+1.4%). Secara bulanan, bilangan pekerja meningkat 0.2 peratus.

 

“Dari segi pendapatan, gaji dan upah sektor pembuatan meningkat 2.3% kepada RM8.31 bilion berbanding tahun sebelumnya, walaupun menurun sedikit 0.2% berbanding bulan Jun. 

 

“Purata gaji per pekerja naik 1.2% YoY kepada RM3,469, manakala nilai jualan per pekerja meningkat 2.5% kepada RM466,735,” katanya.

 

Bagi tempoh Januari hingga Julai 2025, sektor pembuatan mencatat jualan kumulatif RM1.1 trilion, meningkat 3.7% berbanding 4.5% pada tempoh sama tahun lalu. 

 

Jumlah pekerja meningkat 1.1% kepada 2.4 juta orang dan gaji serta upah keseluruhan naik 1.9% kepada RM58.5 bilion.

 

Beliau berkata, pertumbuhan ini menunjukkan sektor pembuatan Malaysia terus menjadi tulang belakang ekonomi negara dengan permintaan eksport dan domestik yang kukuh serta peningkatan produktiviti pekerja.

 

Dr Mohd Uzir menegaskan prestasi positif ini memberikan keyakinan terhadap prospek jangka sederhana dan panjang sektor pembuatan, selaras dengan strategi negara untuk memperkukuh pertumbuhan ekonomi yang berasaskan nilai tinggi.

 

“Industri pembuatan terus membuka peluang pekerjaan dan memperkukuh pendapatan pekerja, sejajar dengan peningkatan gaji dan produktiviti.

 

“Pertumbuhan yang konsisten dalam sub-sektor E&E dan pemprosesan makanan menunjukkan Malaysia kekal berdaya saing di peringkat serantau, menarik pelaburan dan menyokong pembangunan teknologi dan inovasi.

 

“Secara keseluruhannya, statistik ini mencerminkan kestabilan dan daya tahan sektor pembuatan Malaysia, yang terus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara walaupun berdepan cabaran global dan pasaran yang berubah-ubah,” katanya. - BERNAMA