KUALA LUMPUR 6 Mei - Sektor pembuatan Malaysia dijangka menguncup dalam tempoh terdekat disebabkan oleh penurunan permintaan global dan kemerosotan keyakinan perniagaan.
Indeks Pengurus Pembelian (PMI) pada bulan lalu, yang merupakan petunjuk ekonomi utama untuk menilai kesihatan sektor berkenaan, turun lagi kepada 48.6 berbanding 48.8 pada bulan Mac 2025.
BIMB Securities berkata, ia adalah bacaan PMI yang terendah pada tahun ini, mencerminkan penguncupan yang berterusan.
"PMI purata 49.0 dari Januari hingga April 2025, adalah sedikit lebih rendah berbanding purata 49.4 pada tahun 2024," katanya dalam satu nota kajian.
Bacaan PMI di bawah 50 menunjukkan penguncupan dalam sektor pembuatan dan semakin rendah nombor tersebut, semakin tajam penguncupannya.
"Walaupun kos semakin berkurang dan harga jualan turun, keyakinan perniagaan masih lemah.
"Ia jatuh ke tahap paling rendah sejak Julai 2023 kerana bimbang dengan kelembapan ekonomi dunia dan Tarif Perdagangan Amerika Syarikat (AS)," kata firma penyelidikan tersebut.
Menurut BIMB Securities, kenaikan tarif baru-baru ini dan dasar perdagangan yang tidak menentu memberi tekanan kepada kos pengeluaran dan mendorong syarikat-syarikat untuk menilai semula strategi pembekalan mereka.
Ia juga dijangka terus memberi kesan kepada sektor-sektor yang bergantung kepada eksport di Malaysia dalam tempoh terdekat.
Namun katanya, perubahan dalam perdagangan dunia membuka peluang baharu.
"Malaysia boleh mendapat manfaat daripada trend China+1 apabila syarikat besar mencari tempat lain untuk mengeluarkan produk, terutamanya dalam bidang elektronik dan semikonduktor.
"Usaha juga sedang dilakukan, dengan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berunding dengan pegawai AS bagi mengelakkan tarif 24% yang dicadangkan terhadap eksport Malaysia yang dijadualkan pada bulan Julai ini," tambah firma penyelidikan itu.
Sementara itu, Kenanga Research berkata, permintaan domestik dijangka menyokong pertumbuhan.
Katanya, walaupun PMI menunjukkan penurunan, keadaan pembuatan tetap stabil.
Ia menjangkakan pertumbuhan pembuatan akan sedikit merosot, dengan unjuran untuk tahun 2025 adalah 3.7%, lebih rendah daripada unjuran Kementerian Kewangan sebanyak 4.5%.
Bagi ekonomi keseluruhan, Kenanga Research mengekalkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 pada 4.8% (2024: 5.1%) walaupun terdapat ketidakpastian kesan tarif AS terhadap perdagangan global.
Firma penyelidikan itu berkata, walaupun masih ada kebimbangan eksport ke AS mungkin perlahan jika cukai tinggi diteruskan selepas 90 hari, mereka yakin Malaysia boleh mencapai perjanjian dengan AS.
"Jika AS dan China terus membawa haluan masing-masing, Malaysia berpeluang mendapat manfaat kerana lokasi strategik dan pelbagai jenis produk eksport yang ditawarkan," ujarnya. - DagangNews.com








