KUALA LUMPUR 5 Mei - Sektor pembinaan dilihat sebagai peluang pelaburan selamat ketika dunia berdepan ketidaktentuan geopolitik dan ekonomi sementara menanti rundingan perdagangan antara dua kuasa besar dunia, Amerika Syarikat (AS) dan China.
CGS International (CGSI) Research berkata, sektor pembinaan boleh menarik semula perhatian para pelabur memandangkan ia lebih tertumpu kepada pasaran tempatan tanpa terjejas akibat masalah global.
Katanya, jika perang tarif berpunca daripada pelaksanaan Tarif Perdagangan AS menjejaskan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, kerajaan berkemungkinan besar akan merangsang ekonomi melalui industri pembinaan.
"Pembinaan mempunyai kesan pengganda yang kuat kerana ia sangat berkait rapat dengan pertumbuhan KDNK.
"Ini lebih ketara dalam suku pertama hingga keempat tahun 2024 dengan kadar 2.8 hingga 4.6 kali ganda KDNK, berbanding hanya 1.2 hingga 2.3 kali ganda pada tahun 2023," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Kajian pasaran oleh CGSI Research juga menunjukkan, prospek projek pusat data masih kukuh, dengan lebih banyak pelan sedang dirancang.
CGSI Research menjangkakan, Sunway Construction Group Bhd (SunCon) akan mengambil peluang untuk mengembangkan pusat datanya menjelang suku kedua 2025, di samping enam tender yang sedang berjalan.
Gamuda Bhd pula katanya, menetapkan sasaran yang lebih berhati-hati untuk projek pusat data apabila hanya mempertimbangkan tiga daripada tujuh projek yang berpotensi bagi tahun 2025.
Sebaliknya, tender untuk kilang semikonduktor kini perlahan disebabkan ketidaktentuan tarif, sekali gus menangguhkan strategi China+1.
"Bagi infrastruktur kerajaan, kontrak bernilai RM3 bilion untuk projek LRT Pulau Pinang berpotensi menaikkan jumlah kontrak Gamuda kepada RM8.3 bilion.
"Ini membuka peluang kerja tambahan kepada syarikat seperti IJM Bhd dan SunCon untuk mengambil peranan sebagai subkontraktor," jelas CGSI Research.
CIMB Securities pula lebih berhati-hati dan percaya kerajaan mungkin perlu bertindak secara fiskal untuk menangani cabaran luar negara di tengah-tengah keadaan ekonomi global yang tidak menentu.
"Ini juga bergantung pada pelan rasionalisasi subsidi Kerajaan Persekutuan dan polisi untuk menyokong golongan B40.
"Pengumuman Rancangan Malaysia Ke-13 boleh memberi petunjuk tentang pendirian terbaharu kerajaan berkaitan dasar fiskal dan pilihan raya Sabah dan Sarawak mungkin membawa masuk lebih banyak projek," katanya kepada StarBiz 7.
CIMB Securities juga percaya, akan ada tumpuan semula kepada projek yang dipacu sektor swasta di bawah Rancangan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030, untuk mengurangkan beban kewangan kerajaan.
"Kami mencadangkan pelabur untuk kekal melabur dalam syarikat pembinaan besar yang mempunyai asas kewangan kukuh dan pasaran yang pelbagai," tambahnya yang memilih Gamuda.
Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research memberikan saranan 'overweight' kepada sektor pembinaan, meramalkan kesan besar dan risiko sekunder susulan pengumuman tarif oleh Presiden AS, Donald Trump pada awal April lalu.
"Risiko sekunder adalah kesan tidak langsung atau lanjutan yang timbul daripada tindakan awal.
"Contohnya, jika syarikat mengurangkan pekerja (risiko utama), kesan sekunder mungkin termasuk semangat kerja yang rendah, produktiviti menurun atau kehilangan pengetahuan penting," jelasnya.
HLIB Research berpendapat, sektor pembinaan yang lebih tertumpu dalam negara, tidak terjejas secara langsung oleh tarif atau penangguhan pelaksanaan selama 90 hari oleh pentadbiran Trump.
Namun katanya, jika tindakan itu berpanjangan, risiko sekunder mungkin meningkat. - DagangNews.com








