KUALA LUMPUR 23 Julai - Sektor pembinaan, penjagaan kesihatan, hartanah, minyak dan gas (O&G) serta utiliti diramal mencatatkan perkembangan positif pada tahun ini, kata Maybank Investment Bank (Maybank IB).
Firma penyelidikan itu berkata, data makro yang dikeluarkan setakat ini menunjukkan sokongan domestik, khususnya perbelanjaan pengguna yang kukuh dan kitaran pelaburan yang berterusan sedang mengimbangi cabaran luar.
"Musim keputusan kewangan 2QFY25 baru sahaja bermula dan kami meramalkan suku tahun yang lebih seimbang selepas prestasi suku pertama yang mengecewakan," katanya dalam satu nota kajian
Bagi sektor pembinaan, Maybank IB berkata, 1QFY25 adalah lebih perlahan disebabkan kesan berganda perayaan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramdan yang kedua-duanya jatuh dalam suku tahun yang sama.
"Bagi 2QFY25, kami menjangkakan kerja-kerja pembinaan dan seterusnya bil progres akan meningkat.
"Ini akan membawa kepada pengiktirafan hasil dan keuntungan yang lebih tinggi dalam 2QFY25," katanya.
Firma penyelidikan itu juga menjangkakan pemulihan dalam sektor penjagaan kesihatan dan hartanah selepas prestasi yang lemah pada 1QFY25.
Bagi sektor minyak dan gas, Maybank IB berkata, pendapatan bagi pemain perkhidmatan dan peralatan minyak dan gas dalam 2QFY25 berkemungkinan meningkat berbanding suku sebelumnya, apabila sektor ini bergerak melepasi musim tengkujuh tahunan yang biasanya menjejaskan suku keempat dan pertama. - DagangNews.com








