Sektor pembinaan diyakini terus berkembang disokong pembangunan pusat data, infrastruktur air - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pembinaan diyakini terus berkembang disokong pembangunan pusat data, infrastruktur air - penganalisis

Oleh NUR 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 11 April - RHB Research mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor pembinaan Malaysia, berikutan prestasi pendapatan yang teguh dan aliran kerja yang mampan, khususnya dalam pembangunan pusat data (DC) dan projek infrastruktur air.

 

Firma penyelidikan itu berkata, daripada 11 syarikat yang diliputi dalam tempoh Februari hingga Mac 2025, kebanyakannya bagi tahun kewangan 2024 terdapat lima catatkan keputusan sejajar jangkaan, tiga melebihi, manakala tiga sedikit terlepas jangkaan.

 

Katanya, kontraktor terus mencatat kemajuan yang lebih baik dengan jumlah nilai kerja sebanyak RM42 bilion direkodkan pada suku terakhir 2024 tertinggi dalam rekod.

 

Dalam sektor DC, RHB Research berkata meskipun terdapat kebimbangan pasaran mengenai peraturan penyebaran kecerdasan buatan (AI) dan kemunculan DeepSeek dari China kerana pembangun DC masih belum menunjukkan tanda-tanda memperlahankan aktiviti mereka.

 

Mereka menyatakan pemain dari China seperti GDS Holdings Ltd dan Bridge Data Centres telah memperoleh dana masing-masing sebanyak AS$3.4 billion (RM16.15 billion) dan AS$2.8 (RM13.3 billion) bilion untuk pengembangan di Malaysia dan rantau Asia Pasifik secara meluas.

 

"Paling penting keperluan air untuk mengendalikan DC dilihat masih memadai, dan Johor merancang untuk meningkatkan kapasiti bekalan air terawatnya kepada 3,061 juta liter sehari (MLD) berbanding 2,171 MLD. 

 

"Berdasarkan unjuran kami, jumlah ini lebih daripada mencukupi untuk menampung kapasiti DC yang bakal dibangunkan di negeri itu," katanya.

 

Sementara itu, RHB Research percaya projek-projek infrastruktur air yang akan datang boleh menjadi "pelengkap sempurna" kepada sektor pembinaan.

 

RHB berkata, projek Sungai Perak ke Empangan Bukit Merah, yang kini di peringkat perancangan akhir boleh menawarkan peluang kerja bernilai sehingga RM4 billion manakala Fasa 2 Skim Bekalan Air Sungai Rasau dianggarkan bernilai kira-kira RM2 bilion.

 

Menurut firma penyelidikan itu, kontraktor seperti Gamuda Bhd, Taliworks Corp Bhd, dan IJM Corp Bhd telah memperoleh pakej Fasa 1 Skim Bekalan Air Sungai Rasau menerusi tiga kontrak bernilai kira-kira RM3 bilion secara keseluruhan.

 

Selain itu, turut menyatakan yang Air Selangor merancang untuk membina dua lagi loji rawatan air baharu. Bagi Fasa 2 Labohan Dagang dan Fasa 2 Langat 2 menjelang tahun 2030.

 

RHB Research berkata projek pengangkutan berskala besar juga berada dalam radar termasuk LRT Pulau Pinang (dianggarkan bernilai RM13 bilion), Sistem Pengangkutan Autonomi Bertingkat di Johor Bahru (dianggarkan RM6 billion), dan Laluan Rel Kita Selangor yang dicadangkan.

 

Menurut CIMB Securities Research, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) sedang berjalan lancar dengan tender untuk bangunan terminal utama dan bahagian terbesar projek dijangka dibuka menjelang Mei 2025.

 

Firma penyelidikan itu berkata kerja-kerja pembinaan untuk dua daripada tiga pakej pertama sudahpun bermula.

 

"Pakej 1, bernilai RM108 juta dan dianugerahkan kepada Gagasan Maya Sdn Bhd telah mencapai 31% siap setakat pertengahan Februari 2025.

 

"Pakej 2, bernilai RM255 juta akan bermula pada April dan telah dianugerahkan kepada Acre Works," kata firma penyelidikan tersebut.

 

CIMB Research menganggarkan bahawa Pakej 3 yang akan datang mungkin bernilai sehingga RM1.2 bilion.

 

Tender tersebut melibatkan pembinaan terminal baharu dan kerja pengubahsuaian bagi bangunan terminal sedia ada.

 

Firma itu percaya Gamuda merupakan pesaing kuat untuk kontrak ini kerana "rekod pencapaian terbukti dalam kerja infrastruktur berkaitan lapangan terbang" dan kelebihan logistik berbanding pesaing, hasil penglibatan mereka dalam kerja penambakan yang sedang dijalankan untuk Pulau Silikon berhampiran PIA.

 

CIMB Research turut mengenal pasti beberapa pembida "layak" lain termasuk IJM Corp dan Malaysian Resources Corp Bhd kedua-duanya telah menyatakan minat.

 

Ann Joo Resources Bhd sebagai penerima manfaat hiliran yang berpotensi, merujuk kepada kemudahan pembuatan keluli syarikat itu di Seberang Prai.

 

Secara keseluruhan, RHB Research berkata Indeks Pembinaan ketika ini didagangkan pada nisbah harga kepada pendapatan (PE) sekitar 14 kali, hampir dengan purata 10 tahun iaitu 13 kali.

 

Indeks Pembinaan kini didagangkan pada paras PE sekitar 14 kali, hampir purata 10 tahun pada 13 kali. Sebagai perbandingan, indeks ini pernah mencecah paras PE 18-19 kali pada akhir 2024 sebelum ketidaktentuan berkaitan AI dan DeepSeek.

 

"Namun, prospek sektor DC di Malaysia kekal cerah dan seharusnya menyokong valuasi lebih tinggi bagi sektor pembinaan," tambah RHB Research.- DagangNews.com