KUALA LUMPUR 23 Jun - Syarikat pembinaan yang tersenarai dijangka mencatat peningkatan pendapatan pada suku kedua 2025, selepas menunjukkan prestasi baik pada suku pertama tahun ini, menurut penganalisis.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd, Thong Pak Leng berkata, kebanyakan syarikat merekodkan prestasi stabil hasil kemajuan projek yang sedang berjalan dan pengurusan kos yang baik, walaupun ekonomi masih belum pulih sepenuhnya.
Sunway Construction Group Bhd (SunCon) merupakan antara syarikat yang mencatat prestasi memberangsangkan didorong kecekapan operasi dan pelaksanaan projek yang konsisten.
Pak Leng menjangkakan, aliran kerja pembinaan akan meningkat secara berperingkat, terutamanya apabila projek besar seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang bernilai RM17 bilion mula dilaksanakan.
"Kesan terhadap pendapatan syarikat mungkin hanya akan kelihatan pada akhir 2025 atau awal 2026," katanya kepada Business Times.
Seorang lagi penganalisis industri bersetuju bahawa prestasi syarikat pembinaan tersenarai secara keseluruhannya adalah sejajar atau sedikit lebih baik daripada jangkaan pasaran pada suku pertama.
Namun beliau berkata, margin keuntungan masih tertekan akibat kos bahan binaan dan buruh yang masih tinggi.
"SunCon terus menunjukkan prestasi baik dengan pelaksanaan projek yang konsisten.
Gamuda Bhd juga menyerlah hasil sumbangan projek luar negara di Australia dan Taiwan.
"Operasi Gamuda yang pelbagai di peringkat antarabangsa membantu mengimbangi kelembapan dalam pasaran tempatan," jelasnya.
Beliau menambah, projek LRT Pulau Pinang memberi prospek yang lebih jelas untuk sektor pembinaan dalam tempoh sederhana, walaupun pemberian kontrak dan peruntukan dijangka hanya bermula pada akhir 2025.
Sementara itu, CIMB Securities menyatakan, sektor pembinaan kekal stabil sepanjang musim laporan kewangan suku pertama baru-baru ini.
"Daripada saham syarikat pembinaan yang kami pantau, empat mencatat prestasi sejajar jangkaan, manakala IJM Corp Bhd mencatat keputusan melebihi jangkaan," ujarnya.
Tiada syarikat yang mengalami kerugian besar atau potongan nilai terhadap projek.
CIMB Securities masih mengekalkan penilaian 'overweight' terhadap sektor pembinaan dan menjangkakan pertumbuhan pendapatan sebanyak 10% bagi tahun kewangan 2025.
Firma penyelidikan itu juga menjangka prestasi suku kedua akan terus meningkat dipacu aktiviti pembinaan yang bertambah selepas musim cuti perayaan.
Ia turut melihat peluang kerja yang semakin banyak dengan pelancaran projek awam besar serta kemungkinan penganugerahan sehingga enam projek pusat data baharu bernilai RM2 bilion setiap satu dalam tempoh dua hingga tiga suku akan datang.
CIMB Securities yakin momentum pemberian projek akan terus meningkat menjelang pembentangan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) pada Julai ini.
Bagaimanapun, peluasan skop cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mungkin menyebabkan ketidaktentuan sementara terhadap keuntungan projek bukan kediaman yang bernilai rendah.
IJM Corp kini kembali menjadi antara pilihan utama dalam kalangan saham pembinaan berskala besar, bersama Gamuda.
IJM kini berada di fasa akhir rundingan untuk menukar bidaan bernilai antara RM6 bilion hingga RM8 bilion kepada kontrak sebenar, termasuk projek sambungan Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) bernilai RM1.4 bilion.
Gamuda pula dijangka mencapai sasaran buku pesanan antara RM40 bilion hingga RM45 bilion menjelang akhir 2025, disokong oleh bidaan bernilai tinggi seperti enam projek pusat data, yang setiap satunya bernilai kira-kira RM2 bilion.
Bagi potensi pertumbuhan lebih cepat, Malaysian Resources Corporation Bhd (MRCB) turut diberi perhatian selepas memperoleh projek baharu bernilai RM5.6 bilion setakat ini.
Syarikat itu juga berpotensi mendapat kontrak tambahan daripada projek pembangunan semula KL Sentral bernilai RM1 bilion dan bidaan aktif berjumlah RM1.7 bilion.
Sementara itu, syarikat berskala kecil seperti Econpile Holdings Bhd dijangka mendapat manfaat jika kerja-kerja cerucuk berskala besar kembali aktif. - DagangNews.com








