Sektor pelabuhan dan maritim jadi tumpuan RMK13 perkasa ekonomi biru negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor pelabuhan dan maritim jadi tumpuan RMK13 perkasa ekonomi biru negara

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 31 Julai – Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) memperlihatkan komitmen jelas kerajaan dalam memacu industri pelabuhan dan maritim sebagai antara sektor strategik di bawah agenda ekonomi biru negara.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Malaysia akan memberi penekanan terhadap pembangunan infrastruktur pelabuhan yang moden, cekap dan rendah karbon selaras dengan matlamat menjadikan negara sebagai hab maritim serantau yang kompetitif dan mampan.

 

“Bagi mengukuhkan ekosistem maritim negara, RMK13 turut menumpukan kepada pengembangan industri pembinaan dan pembaikan kapal (Shipbuilding and Ship Repair, SBSR) melalui pelaburan strategik dan perluasan kapasiti perkapalan.

 

“Infrastruktur sokongan seperti kemudahan bunkering akan dinaik taraf di pelabuhan-pelabuhan utama termasuk di Perak, Kelantan, Terengganu, Sabah dan Sarawak.

 

“Inisiatif ini akan menyumbang kepada sasaran menjadikan Malaysia sebagai hab maritim serantau yang kompetitif dan mampan,” katanya ketika membentangkan RMK13 di Dewan Rakyat hari ini.

 

Antara projek utama yang diumumkan termasuk dalam pembentangan itu ialah pembinaan Terminal Ketiga Pulau Carey, pembangunan Terminal Kontena Westports 2 dan pembesaran Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), Johor.

 

RMK13 turut menggariskan fokus ekonomi biru secara menyeluruh, termasuk pembangunan hab perikanan bersepadu, pelancongan pantai dan maritim, serta teknologi berasaskan bio biru, khususnya di Sabah.

 

Bertemakan Melakar Semula Pembangunan, RMK13 merupakan pelan pembangunan lima tahun negara bagi tempoh 2026 hingga 2030, yang bertujuan menyusun semula struktur ekonomi ke arah pembangunan inklusif, hijau dan berdaya tahan. - DagangNews.com