Sektor O&G terus berdepan cabaran akibat ketegangan geopolitik, strategi pengeluaran OPEC+, kata MIDF Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor O&G terus berdepan cabaran akibat ketegangan geopolitik, strategi pengeluaran OPEC+, kata MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 10 April - Sektor minyak dan gas (O&G) dijangka terus berdepan cabaran pada masa hadapan akibat ketegangan geopolitik, ketidaktentuan dasar perdagangan dan peralihan dalam strategi pengeluaran Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum dan sekutunya (Opec+), kata MIDF Research.

 

Firma penyelidikan itu menurunkan sarananya kepada "neutral" selain menyatakan risiko didalam sektor itu semakin meningkat dengan persekitaran pelaburan yang mencabar.

 

"Secara keseluruhannya, kami menurunkan keyakinan terhadap sektor itu dengan sebahagian besarnya disebabkan tarif perdagangan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mungkin mengganggu rantaian bekalan dalam sektor minyak dan gas selain peningkatan pengeluaran OPEC+," katanya dalam satu nota kajian.

 

MIDF Research menekankan, langkah terbaru OPEC+ meningkatkan pengeluaran sebanyak 411,000 tong sehari pada Mei 2025membentuk sebahagian daripada “strategi fleksibiliti” untuk mendepani ketidaktentuan pasaran dan kebimbangan keselamatan tenaga.

 

Bagaimanapun, bekalan tambahan itu dijangka menjejaskan harga.

 

"Harga minyak dijangka menurun di bawah AS$65 setong. Ini akan terus mengheret harga minyak mentah Brent ke bawah AS$70 setong, menambahkan lagi risiko kepada projek huluan baharu dari segi jumlah pengeluaran dan kebolehlaksanaan,” katanya.

 

Syarikat penyelidikan itu menjangkakan, minyak mentah Brent berada pada purata sekitar AS$67 setong pada April 2025, dalam julat lebih luas AS$63 hingga AS$70.

 

Semakan itu mengambil kira penstabilan harga tetapi juga peningkatan kos projek disebabkan oleh tarif yang dikenakan AS, yang dianggarkan menambah 2% hingga 5% kepada projek yang melibatkan pihak AS.

 

MIDF Research berkata, bagaimanapun, Malaysia akan secara relatifnya terlindung daripada impak tarif langsung.

 

"Kesan tarif terhadap pasaran tempatan kami adalah minimum dan hanya terhad kepada harga bahan mentah, seperti keluli dan aluminium, dan bahan mentah dan bahan kimia lain untuk produk petroleum," katanya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, aktiviti huluan kekal berdaya tahan, dengan syarikat-syarikat tempatan meneruskan usaha penerokaan dan pengeluaran.

 

MIDF Research menegaskan, Petronas dijangka menggiatkan usaha mengalihkan pengeluaran minyak kepada pengeluaran gas, seiring dengan peningkatan permintaan bagi gas asli cecair (LNG).

 

Pengumuman Petronas untuk membina terminal pengegasan baharu di Lumut menjelang 2028 menggariskan komitmen Malaysia terhadap pengembangan LNG.

 

Menurut MIDF Research, terdapat potensi keuntungan dalam infrastruktur penyimpanan di tengah-tengah harga minyak yang lebih rendah.

 

“Medan simpanan juga dijangka mendapat momentum berikutan harga minyak mentah Brent yang lebih rendah, membolehkan penapis dan peniaga melindung nilai daripada peningkatan semula harga atau gangguan bekalan," katanya. - DagangNews.com