Sektor insurans dijangka pulih disokong pertumbuhan premium kukuh, dividen menarik - MBSB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor insurans dijangka pulih disokong pertumbuhan premium kukuh, dividen menarik - MBSB Research

Gambar Unsplash.com
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 8 Dis – Sektor insurans dijangka menunjukkan pemulihan pertumbuhan pada suku keempat 2025, dengan kawalan inflasi tuntutan perubatan yang baik dan prospek dividen yang lebih menarik, menurut MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, pertumbuhan premium kasar (GWP) kekal kukuh, disokong oleh pemulihan ekonomi yang mantap. 

 

“Walaupun jumlah isipadu industri (TIV) menurun, lonjakan tuntutan yang dijangka masih belum berlaku namun ia dijangka meningkat ketika musim monsun tidak lama lagi.

 

“Segmen insurans hayat dan keluarga menunjukkan penambahbaikan, terutama dalam produk berkaitan pelaburan, walaupun pertumbuhan tahunan bersih (ANP) masih negatif. 

 

“Syarikat insurans juga berjaya menguruskan tuntutan kesihatan dengan baik,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

MBSB Research menekankan prospek dividen yang lebih cerah, kerana pelaksanaan RBC 2 dijangka tidak memberi kesan negatif seteruk yang disangka sebelum ini dengan memberi contoh STMB telah mengisytiharkan dividen tunai penuh sebagai tanda keyakinan terhadap tahap modal.

 

“Walaupun terdapat cabaran jangka pendek seperti tekanan margin daripada kos semula insurans, inflasi tuntutan, serta pelaksanaan SST, kami kekal optimis terhadap pemulihan pertumbuhan sektor insurans,” kata firma tersebut.

 

Dalam kalangan syarikat pilihan, Lonpac Insurance Berhad dan Allianz disenaraikan sebagai ‘Top Picks’ manakala STMB dilihat sebagai pilihan baik. 

 

LPI dilihat defensif dengan 100% pendedahan kepada segmen am, manakala Allianz menunjukkan pengurusan inflasi kesihatan yang baik dan pertumbuhan bahagian pasaran yang kukuh.

 

Risiko utama yang dikenalpasti termasuk kelembapan ekonomi yang menjejaskan pertumbuhan premium, peningkatan tuntutan akibat musim monsun dan bencana alam, serta kegagalan langkah kawalan inflasi kesihatan.

 

MBSB Research mengekalkan penilaian Positif untuk sektor insurans, dengan jangkaan pemulihan pertumbuhan berterusan, kawalan inflasi tuntutan perubatan yang lebih baik, serta hasil dividen yang menarik bagi pelabur. - DagangNews.com