Sektor hartanah tempatan dijangka kekal berdaya tahan meskipun berdepan cabaran global – HLIB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Sektor hartanah tempatan dijangka kekal berdaya tahan meskipun berdepan cabaran global – HLIB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Julai – Sektor hartanah tempatan diyakini akan kekal berdaya tahan pada tahun ini meskipun berdepan cabaran luaran seperti sekatan Amerika Syarikat terhadap cip kecerdasan buatan (AI) serta tekanan tarif global, menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, permintaan bagi kediaman mewah di Lembah Klang mula menunjukkan pemulihan, mencerminkan sentimen yang semakin pulih, manakala pelaksanaan Akta Pembaharuan Bandar berpotensi membuka peluang pembangunan semula di kawasan strategik.

 

“Pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan peningkatan hubungan rentas sempadan dijangka terus merangsang pembangunan, meskipun pertambahan pelancaran projek berhampiran laluan Rapid Transit System Link (RTS) berisiko menyebabkan lambakan bekalan.

 

“Di Pulau Pinang, pengukuhan ringgit dan ketidaktentuan perdagangan dijangka memberi kesan kepada permintaan bagi kediaman mewah.

 

“Namun, permintaan hartanah industri selain pusat data dijangka akan terus meningkat, disokong oleh aliran pelaburan langsung asing (FDI) yang kukuh,” kata firma itu dalam nota kajiannya.

 

HLIB mengekalkan saranan “overweight” terhadap sektor hartanah, didorong oleh faktor-faktor asas yang kekal kukuh.

 

“Pusingan pemulihan sektor hartanah kekal utuh, disokong oleh kemasukan pelaburan yang berterusan dan pembaharuan struktur yang menyokong pertumbuhan mampan.

 

“Selain itu, peningkatan pendapatan hasil pelaksanaan gaji minimum dan kenaikan gaji penjawat awam, serta hala tuju ekonomi negara ke arah rantaian nilai yang lebih tinggi juga akan menambah permintaan dalam sektor hartanah,”kata HLIB.

 

Antara saham pilihan utama HLIB dalam sektor ini termasuk IOI Properties Group Bhd (IOIProp), OSK Holdings Bhd, Sunway Group Bhd dan Sime Darby Property Bhd.

 

Tambah HLIB, selepas hampir sedekad berdepan lambakan bekalan dan permintaan yang perlahan, pasaran pejabat di Lembah Klang juga mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila lebihan bekalan semakin reda.

 

“Beberapa pusat beli-belah baharu juga dijangka dibuka di Lembah Klang tahun ini, antaranya Sunway Square Mall di Sunway South Quay, Senada Mall oleh Sime Darby Property di KLGCC, fasa kedua Pavilion Damansara Heights, 118 Mall di Merdeka 118, Ombak Mall di kawasan KLCC dan Hektar World di Damansara, Petaling Jaya,” katanya.

 

Selain itu, HLIB berkata, tahun ini dilihat sebagai tahun pelaksanaan dan penghantaran (execution & delivery) bagi pemaju hartanah apabila semakin banyak syarikat mula mempelbagaikan portfolio ke dalam segmen industri sebagai strategi menjana aliran pendapatan baharu yang seiring dengan hala tuju negara ke arah ekonomi berteknologi tinggi.

 

“Dalam tempoh dua tahun akan datang, beberapa penyenaraian awam awal (IPO) berskala besar dijangka berlaku, apabila pemaju hartanah mula membuka nilai bahagian perniagaan utama mereka kepada pelabur.

 

“Sunway Group dijangka menyenaraikan segmen penjagaan kesihatan seawal suku pertama 2026, dengan anggaran penilaian pasaran RM20 bilion, sekali gus berpotensi menjadi IPO terbesar di Bursa Malaysia.

 

“IOIProp pula dijangka menyenaraikan amanah pelaburan hartanah (REIT) di Malaysia tahun depan, dengan anggaran nilai antara RM7 bilion hingga RM8 bilion, berpotensi menjadi penyenaraian REIT terbesar di Bursa,” kata HLIB.

 

Selain itu, IOIProp turut merancang untuk menyenaraikan REIT miliknya di Singapura menjelang 2027, dengan penilaian sekitar S$8 bilion, yang boleh menjadi antara IPO terbesar di Bursa Singapura dalam tempoh lebih sedekad.

 

“SP Setia Bhd juga dijangka menyenaraikan portfolio aset miliknya tahun depan, dengan anggaran nilai sekitar RM2 bilion.

 

“Potensi penyenaraian ini mencerminkan nilai asas aset yang kukuh serta selera pelabur yang semakin meningkat terhadap pelaburan hartanah berkualiti di Malaysia dan serantau,” kata HLIB lagi. - DagangNews.com