KUALA LUMPUR 8 Mei - Segmen semikonduktor diyakini terus menjadi pemacu utama pertumbuhan pendapatan Pentamaster Corp Berhad pada tahun 2026 disokong pelancaran produk baharu, kata Phillip Capital.
Katanya, pengurusan melihat permintaan daripada segmen automotif semakin stabil manakala segmen perubatan yang sentiasa kukuh terus menunjukkan prestasi yang baik.
Sementara itu, pertanyaan daripada pelanggan dalam segmen pengguna dan industri juga semakin meningkat.
“Tiga pelancaran produk baharu Pentamaster yang akan datang masih mengikut jadual dan ia menyokong strategi kumpulan untuk bergerak ke atas rantaian nilai ke dalam segmen bernilai tinggi dengan margin yang lebih baik.
“Kumpulan dijadualkan untuk menghantar prototaip mesin substrat pembungkusan lanjutan 2.5D pertama kepada pelanggan di China dan Taiwan, di mana ia akan melalui proses kelayakan sebelum pengeluaran besar-besaran," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, Pentamaster mencatatkan lonjakan dalam jumlah pesanan terutamanya dalam kalangan syarikat perkhidmatan pemasangan dan ujian semikonduktor (OSAT) berikutan pengumuman tarif oleh Amerika Syarikat (AS).
Pelanggan dari China telah mula mempercepatkan pesanan mereka, manakala permintaan dari Eropah kekal stabil.
"Kumpulan itu juga memerhatikan peningkatan dalam jumlah pertanyaan daripada pelanggan baharu dan sedia ada yang sedang meneroka pembuatan di dalam negara yang boleh mendorong peningkatan perbelanjaan modal (capex) bagi automasi kilang," katanya.
Phillip Capital menyemak naik penarafan kumpulan kepada "beli" dengan harga sasaran (TP) RM3.20 sesaham.- DagangNews.com








