Segmen pembangunan perindustrian diyakini jadi pemacu utama SP Setia bagi tempoh 5 tahun, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Segmen pembangunan perindustrian diyakini jadi pemacu utama SP Setia bagi tempoh 5 tahun, kata penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 25 Ogos - Segmen pembangunan perindustrian diyakini menjadi pemacu utama pertumbuhan SP Setia Berhad dalam tempoh lima tahun akan datang dengan tiga taman perindustrian utama menjadi tunjang kepada strategi itu, menurut penganalisis.

 

MBSB Research berkata, tiga taman industri itu ialah Taman Perindustrian Setia Fontaine, Taman Perindustrian Setia Alaman dan Taman Perindustrian Tajung Kupang.

 

Katanya, antara ketiga-tiga projek, Setia Alaman Industrial Park, yang terletak di wilayah tengah, merupakan tumpuan utama dengan keluasan tanah mencecah 161.5 hektar dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM4 bilion. 

 

"Projek ini dijangka menarik minat tinggi memandangkan lokasinya yang strategik serta potensi untuk menjadi hab logistik dan perindustrian serantau.

 

"Kumpulan itu turut mengumumkan kerjasama strategik dengan Ally Logistic Property Co Ltd dari Taiwan untuk membangunkan kampus gudang pintar di Taman Perindustrian Setia Alaman. 

 

"Projek ini dijangka menyumbang RM2.5 bilion kepada GDV dan akan dibangunkan menggunakan struktur sewa dan bina dengan pembinaan dijadualkan bermula pada tahun kewangan 2026 (FY26)," katanya dalam satu nota kajian.

 

RHB Research mengurangkan unjuran pendapatan tahun bagi FY25 hingga FY27 masing-masing sebanyak 13%, 13% dan 15% berikutan pengiktirafan hasil daripada penjualan tanah yang dijangka berlaku lebih lewat daripada jangkaan.

 

Katanya, hasil daripada penjualan tanah berkaitan dengan kerjasama bersama ALP akan diiktiraf pada tahun 2026, namun pihak pengurusan masih belum memberikan panduan lanjut mengenai jumlah yang terlibat.

 

Firma penyelidikan itu berkata, SP Setia dan ALP akan membangunkan dua gudang pintar secara usahasama dengan pegangan 60:40, merangkumi keluasan lantai sebanyak 1.5 juta kaki persegi di Setia Alaman.

 

Kerja-kerja pembinaan dijangka bermula tahun hadapan dan akan mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk disiapkan.

 

"Kami menyemak turun penarafan SP Setia kepada "neutral" dengan harga sasaran (TP) RM1.20 sesaham," katanya.- DagangNews.com